fbpx

Tiga kilang haram digempur cemar udara, bau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Notis POK yang dikeluarkan JAS Selangor terhadap salah sebuah kilang

KLANG – Bau kimia dan udara yang tercemar dialami penduduk sekitar Kampung Telok Gong sejak seminggu lalu akhirnya terjawab apabila berpunca daripada tiga buah kilang haram yang berhampiran lokaliti tersebut, semalam.

Dalam serbuan kira-kira 11 pagi, pencemaran itu didapati dilakukan kilang berasaskan kimia, kilang lerai buangan elektrik dan elektronik serta kilang proses tayar terpakai.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Nor Aziah Jaafar berkata, operasi bersama Majlis Perbandaran Klang (MPK) dilakukan susulan aduan penduduk sekitar mengenai pencemaran udara dan bau kimia sehingga menjadi tular di media sosial.

Katanya, berdasarkan siasatan mendapati ada antara kilang tersebut aktif beroperasi sejak tiga bulan lalu.

“Hasil pemeriksaan mendapati kilang tersebut kotor dan tidak mematuhi standard yang ditetapkan sehingga boleh menyebabkan pencemaran lain.

“Kesemua premis telah dikenakan notis Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 bagi menghentikan pencemaran,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Tambah beliau, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan pemilik premis tersebut.

Nor Aziah menjelaskan kes disiasat mengikut Seksyen 34A, Seksyen 34B, Seksyen 18 dan Seksyen 19 Akta serta di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI