PETALING JAYA – Penyanyi Shahir Zawawi mengesahkan bakal melangsungkan pernikahan dengan tunangannya, Jaskin Jaludin pada 2 September ini.
Pemilik nama sebenar Ahmad Shahir Zawawi itu berkata, walaupun berdebar membilang hari, dia sudah sedia menggalas tanggungjawab sebagai suami, sekali gus membina keluarga sakinah dan mawaddah.
“Semakin hampir tarikh itu, bertambah debaran di hati, tetapi hakikatnya saya sudah bersedia menjadi ketua keluarga sebaik dipertemukan dengannya.
“Doakan urusan majlis pernikahan kami dilancarkan, begitu juga dengan resepsi. Persiapan pun sudah disempurnakan dengan bantuan ahli keluarga kami.
“Majlis pernikahan kami diadakan di sebuah lokasi di Subang Jaya, 2 September, pada sebelah malam membabitkan kehadiran sekitar 300 tetamu yang terdiri daripada keluarga terdekat,” katanya kepada Kosmo! Online.
Memilih merealisasikan hari bahagia mereka di Lembah Klang, akui Shahir lokasi tersebut memudahkan seluruh keluarga serta sahabat-handai berkumpul.
Malah kongsi penyanyi berusia 34 tahun itu, majlis persandingan juga diadakan di lokasi sama keesokan harinya iaitu 3 September, pada sebelah malam.
“Selepas bertunang dua bulan lalu, keluarga memang berhajat supaya kami disatukan dengan cepat. Jadi kami sepakat adakan kedua-dua majlis di sini.
“Majlis resepei pula diadakan sehari selepas akad nikah supaya saudara-mara sebelah isteri yang datang dari Sabah dan ahli keluarga saya dari Perak juga dapat bersama-sama kami dalam dua majlis tersebut.
“Tiga minggu selepas pernikahan kami akan pulang ke Tawau, Sabah pula untuk majlis persandingan di sebelah keluarga bakal isteri,” katanya.
Sementara itu, Shahir juga memaklumkan akan membawakan sebuah lagu khas untuk suri hati berjudul Halal ciptaannya sendiri pada majlis resepsi nanti.
Terdahulu, penyanyi Kebahagiaan Dalam Perpisahan itu mengikat pertunangan dengan usahawan merangkap pemilik butik asal Sabah berusia 33 tahun itu pada 16 Julai lalu.
Biarpun tidak sampai dua bulan berkenalan, Shahir dalam wawancara bersama Kosmo! Online mengakui Jaskin atau mesra disapa Ekin adalah wanita yang mempunyai ciri suri pilihannya. – KOSMO! ONLINE