GEORGE TOWN – Remaja berusia 13 tahun yang maut selepas terjatuh dari tingkat 11, balkoni dapur kediamannya di Kondominium Bay Star, Persiaran Bayan Indah, Bayan Baru di sini pagi semalam dikatakan seorang yang pendiam dan suka menyendiri.
Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, hasil temu bual dengan ibu bapa mangsa mendapati yang anak mereka tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan dan isu keluarga.
Menurutnya, siasatan polis juga tidak menunjukkan sebarang unsur-unsur jenayah di tempat kejadian dan kematian diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
“Kita tidak dapat pastikan apa yang berlaku sebelum itu atau apa yang bermain dalam minda remaja tersebut ketika itu. Tetapi, siasatan akan dibuka sekiranya wujud elemen jenayah.
“Ibu bapanya (mangsa) juga was-was dengan apa yang berlaku kerana dia dikatakan seorang anak yang pendiam dan suka bersendirian.
“Saya akan pastikan siasatan dilakukan mengikut pelbagai sudut termasuk mengarahkan pegawai untuk mendapatkan pandangan daripada cikgu berkenaan anak muridnya itu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut mengesahkan yang mangsa sebelum itu ada meninggalkan nota mengatakan mahu menamatkan riwayat hidup tanpa memberi sebarang alasan.
Semalam, Kosmo! Online melaporkan seorang remaja ditemui maut di bumbung konkrit tempat parkir kereta di aras satu bangunan perumahan berkenaan kira-kira pukul 5.30 pagi. – KOSMO! ONLINE