fbpx

Pesan Rexy Manaiky, ‘rendah diri, nikmati perlawanan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
REXY (kiri) melutut sambil memeluk Aaron ketika meraikan kejayaan Aaron-Wooi Yik yang merangkul gelaran pada Kejohanan Dunia di Tokyo, Jepun kelmarin.

KEJAYAAN beregu lelaki No.1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik merangkul gelaran pada Kejohanan Badminton Dunia nyata membanggakan rakyat Malaysia selepas menanti 45 tahun.

Detik bersejarah itu pastinya tidak dapat dicapai tanpa barisan kejurulatihan negara, terutamanya Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky.

Selepas beberapa kali men­cuba untuk menamatkan kemarau kejuaraan dalam acara individu, Rexy mengakui kemenangan tersebut boleh diibaratkan se­perti satu beban yang sangat berat terangkat daripada bahunya.

Beliau mengakui sangat gembira dengan kejayaan yang dicapai anak-anak buahnya itu, lebih-lebih lagi menjadi pemain Malaysia pertama muncul sebagai juara dunia sejak ia diperke­nalkan pada tahun 1977.

“Saya bersyukur kerana sentiasa berdoa supaya kami boleh dapatkan gelaran dunia untuk Malaysia memandangkan negara lain seperti China, Indonesia, Jepun, Denmark, malah England sudah memiliki juara dunia.

“Perasaan saya selepas Aaron-Wooi Yik menang seperti orang yang baru sembuh daripada pe­nyakit serius. Secara tiba-tiba rasa bebas selain boleh berjalan bahkan turut berlari,” kata jurulatih dari Indonesia itu.

Rexy juga percaya kritikan ke atas Aaron-Wooi Yik mematangkan mereka sehingga memastikan beregu No.6 dunia itu memiliki kekuatan mental cukup baik.

“Kritikan akan buat pemain menjadi lebih kuat dan memiliki mentaliti kelas dunia. Saya ada beritahu mereka supaya kuatkan mental dan berdepan kritikan tersebut. Saya juga minta mereka kekal merendah diri dan nikmati perlawanan,” tambahnya.

Mengulas mengenai reaksi beliau yang melutut ketika me­raikan kejayaan Aaron-Wooi Yik, Rexy menjelaskan, ia adalah sebagai tanda syukur selain penghargaan kepada kerja keras dilakukan anak-anak buahnya itu.

“Satu harapan cukup tinggi diletakkan kepada mereka oleh seluruh rakyat yang mahu melihat juara dunia pertama dari Malaysia, jadi saya melutut sambut kemenangan dan sebagai penghargaan kepada mereka.

“Apabila dapat menang se­perti itu, kita perlu tabik serta hargai apa yang sudah dilakukan oleh pemain. Mereka sudah berjuang secukupnya untuk bergelar juara beregu dunia,” ujar Rexy.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI