fbpx

Pemandu trak pikap maut langgar treler parkir tepi jalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebuah pacuan empat roda dipandu mangsa remuk setelah merempuh belakang sebuah treler di Taman Pasir Putih, Pasir Gudang, Johor pagi tadi.

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki maut selepas pacuan empat roda yang dipandunya merempuh belakang sebuah treler yang sedang parkir di tepi Jalan Senangin 6, Taman Pasir Putih, di sini pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi itu, mangsa, Jagatish Kumar Ramasi, 20, mengalami kecederaan parah di bahagian kepala telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd. Sohaimi Ishak berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila Mitsubishi Triton dipandu mangsa telah hilang kawalan lalu terbabas memasuki laluan bertentangan dan terlanggar lori treler di bahu kanan jalan.

Katanya, pihak Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang telah berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit.

“Mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala telah disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Klinik Kesihatan Pasir Gudang,” ujarnya.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Putih, Pegawai Bomba Kanan II Noor Azhan Ahmad berkata, seramai lapan anggota bersama jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

“Kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kenderaan pancuan empat roda jenis Mitsubishi Triton melanggar treler yang sedang parkir di tepi jalan.

“Terdapat seorang mangsa, Jagatish Kumar Ramasi yang tersepit. Pihak bomba bertindak mengeluarkan mangsa tersebut dengan menggunakan peralatan khas dan operasi menyelamat selesai pada pukul 4.50 pagi,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI