PETALING – Pas menegaskan bahawa parti itu tidak akan mengadakan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) mahupun mana-mana parti komponennya dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya juga turut menolak sebarang pakatan untuk mewujudkan ‘khemah besar’.
Jelas beliau, Pas tetap mengutamakan konsep Penyatuan Ummah dan Perpaduan Nasional dalam setiap langkah serta pendirian politiknya.
“Pas amat optimis Penyatuan Ummah itu dapat dicapai melalui kolaborasi utama parti-parti dalam negara ini berteraskan konsep Melayu-Islam dan bumiputera kerana ia adalah formula paling berkesan serta diterima majoriti rakyat Malaysia.
“Pas mengambil sikap terbuka dalam mencari formula terbaik dalam mewujudkan kerjasama politik dengan mana-mana pihak yang mengutamakan perpaduan dan keharmonian dalam menghadapi PRU-15, “katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Pada masa sama, Takiyuddin memaklumkan, kerajaan negeri yang diterajui parti itu juga tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) lebih awal dari bulan Mac 2023.
“Buat masa ini penumpuan lebih kepada aspek pemulihan dalam kehidupan rakyat terutamanya dalam bidang ekonomi dan kesihatan, “ujar beliau. -KOSMO! ONLINE