SINGAPURA – Pihak pentadbiran Facebook National Geographic UK (Britain) ‘koyak’ selepas dikecam netizen Singapura yang berang apabila laman itu menulis Gardens By The Bay terletak di Singapura, Malaysia, lapor laman berita Mothership Sg semalam.
Ia bertindak mengalih klik pengguna dari Singapura ke laman Facebook National Geographic Asia bagi mengelak lebih banyak kecaman terhadap artikel tersebut.
Perubahan kebolehakses itu berlaku dua hari selepas laman National Geographic UK diselar kerana menyiarkan foto Gardens By The Bay dan menyatakannya sebagai berada di ‘Singapore, Malaysia’.
Siaran itu pantas mendapat cemuhan rakyat Singapura dan negara jiran dengan ramai menyatakan ironi bahawa nama besar seperti National Geographic gagal mendapatkan maklumat geografi yang betul.
Pada satu ketika, siaran itu mendapat lebih 17,000 reaksi dan 10,000 perkongsian sebelum ia ditarik balik dua hari selepas ia disiarkan.
Sehingga kini, halaman Facebook National Geographic UK tidak memohon maaf atau mengakui kesilapan itu. – Agensi