fbpx

Menara 100 meter dirobohkan dalam masa 9 saat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Letupan terkawal merobohkan bangunan kediaman setinggi 100 meter di Noida, pinggir New Delhi kelmarin. - AFP

NEW DELHI – Pihak berkuasa India merobohkan dua bangunan pencakar langit yang dibina secara haram dalam masa kurang 10 saat sekali gus menjadikannya bangunan tertinggi pernah dirobohkan di negara Asia Selatan itu, lapor akhbar laman berita Arab News kelmarin. 

Lebih 3,700 kilogram (kg) bahan letupan digunakan dalam operasi itu yang berlangsung sekitar pukul 2.30 petang (waktu tempatan), kata pihak berkuasa.

Letupan bagi meruntuhkan setiap satu menara berkembar setinggi 100 meter itu mengakibatkan kepulan habuk menyelubungi ruang udara dengan orang ramai memerhati operasi tersebut dari bangunan-bangunan tinggi berhampiran. Bangunan itu runtuh dalam masa cuma sembilan saat.

Mahkamah Agung India memerintahkan pencakar langit di kawasan Noida itu dirobohkan pada tahun lalu. Ia selepas panel hakim bersetuju pembinanya iaitu syarikat hartanah Supertec telah melanggar undang-undang termasuk peraturan keselamatan kebakaran.

Selepas pertikaian undang-undang berlarutan lebih satu dekad, penduduk tempatan yang membuat petisyen supaya menara itu dirobohkan, akhirnya meraikan kemenangan mereka kelmarin.

“Hari ini (kelmarin) adalah masa untuk kegembiraan. Selepas berjuang selama 10 tahun dan melalui semua kesukaran untuk meneruskan kes ini, matlamat kami akhirnya tercapai.

“Ia memberikan mesej jelas kepada pemaju dan semua individu yang tidak mengendahkan peraturan,” kata Uday Bhan Singh Teotia, 80. Dia merupakan sebahagian daripada anggota komuniti yang mengemukakan petisyen merobohkan menara berkembar itu kepada Arab News.

Kira-kira 7,000 orang mengosongkan pangsapuri mereka berhampiran lokasi letupan dengan sesetengah mereka bimbang mengenai pencemaran disebabkan debu habuk dan serpihan akibat operasi tersebut.

Perunding kanan perubatan pernafasan Hospital Max Delhi, Dr. Ashish Jain berkata, peningkatan mendadak dan ketara dalam pencemaran di kawasan itu dijangka berlaku berikutan operasi merobohkan pencakar langit  itu.

“Ia mungkin meningkat dengan ketara dan membimbangkan dalam jangka masa yang singkat,” kata Jain, sambil menambah, udara tercemar boleh menimbulkan masalah kesihatan termasuk ruam kulit, alahan, gatal-gatal dan sesak nafas. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI