fbpx

Makna besar 31 Ogos bagi warga Alam Flora

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jamarul Faiz komited dalam urusan kerjanya sebagai membalas jasa majikan Alam Flora mengambil berat hal kebajikan pekerja.

KUANTAN – Lahir pada tarikh keramat dan hari bersejarah negara setiap tahun iaitu 31 Ogos memberi makna besar buat tiga warga kerja Alam Flora Sdn Bhd. (Alam Flora) yang dapat menyambut tarikh kemerdekaan negara bersamaan dengan sambutan hari jadi mereka.

Disebalik kemeriahan tersebut, sebenarnya hero tidak didendang ini memainkan peranan besar memastikan kebersihan dan keselesaan seluruh warga merdeka ini dapat meneruskan aktiviti dan kehidupan masing-masing.

Pemandu lori Alam Flora, Wahab Ismail, 54, berkata, setiap kali menjelang tarikh 31 Ogos, ia adalah tanggal penting yang amat bermakna kerana pada hari cuti umum itu, seluruh rakyat gembira menyambut hari bersejarah.

WAHAB (kanan) bersama Jamarul Faiz berbincang sesuatu dalam rutin harian untuk membolehkan urusan mengutip sampah dan membersihkan kekotoran berjalan lancar.

Beliau berkata, menikmati manfaat kehidupan daripada kemerdekaan itu amat bererti bagi dirinya untuk mengecapi kebebasan serta kemakmuran seterusnya menikmati kemajuan negara.

Jelasnya, sepanjang 24 tahun bekerja dengan Alam Flora, dia amat bangga kerana menjadi warga merdeka yang turut memberi sumbangan kepada negara dan masyarakat meskipun hanya di sebalik tabir dengan memastikan kebersihan negara sentiasa dijaga.

“Saya bersyukur dapat bekerja dengan Alam Flora dan saya akan terus kekal di sini kerana selain mendapat pendapatan untuk keluarga saya juga dapat memberikan sumbangan kepada negara dengan kerja saya ini.

“Saya tidak peduli dengan tugas yang perlu menguruskan sampah dan kekotoran setiap hari tetapi ia merupakan satu tugas yang murni demi negara yang merdeka,”katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Anak kelahiran Tanjung Lumpur, Kuantan itu bukan sahaja bertugas sebagai pemandu tetapi juga turut sama membantu pekerja lain mengutip sampah dan membersihkan kekotoran.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, suasana kerja yang harmoni dan majikan yang prihatin membuatkannya berazam untuk terus bekerja bersungguh-sungguh bagi membalas jasa syarikat.

“Saya membesarkan anak-anak saya yang kini semuanya sudah dewasa dengan pekerjaan ini, saya amat berterima kasih kepada majikan saya, walaupun hari merdeka diumum cuti kepada semua, saya tetap mahu bekerja menjalankan rutin seperti biasa,” katanya yang hanya menyambut hari jadi secara ringkas bersama isteri selepas pulang dari kerja.

Dalam pada itu, seorang lagi pekerja am Alam Flora, Jamarul Faiz Jamaluddin, 26, berkata, setiap tahun pada tarikh 31 Ogos, dia seperti bersemangat, ceria dan sentiasa berdoa mengucap syukur atas rahmat Tuhan yang dikurniakan kepadanya selama ini.

Meskipun kurang daripada dua tahun dia menyertai syarikat tetapi hubungan kekeluargaan bersama rakan sekerja menjadikan dia menjadi sebahagian daripada keluarga Alam Flora sekali gus bersemangat untuk terus setia bekerja demi jaminan masa depannya.

“Saya bertuah dipilih bekerja di sini kerana majikan sentiasa mengambil berat dan memberikan perhatian kepada kebajikan kami, antaranya rawatan perubatan yang amat penting kepada kami.

“Kami juga sentiasa diberikan sokongan dan dorongan untuk terus melaksanakan kerja dengan baik, amalan kerja berkumpulan juga amat baik membuatkan kami berasa sebagai satu keluarga besar,” katanya.

ADAM IMAN (kiri) berbangga bekerja di Alam Flora apatah lagi menyambut hari lahir sama dengan hari kemerdekaan negara.

Sementara itu, seorang lagi pekerja pembersihan di Bentong, Adam Iman Ayub, 21, berkata, meskipun baru setahun bekerja dengan Alam Flora dia berasa amat seronok bekerja di syarikat berkenaan yang mempunyai suasana kerja yang kondusif.

Sebagai generasi muda, tarikh kemerdekaan negara yang sama dengan tarikh lahirnya memberi suntikan semangat patriotik cintakan negara kepada dirinya.

“Sebelum ini, saya bekerja di bengkel dan apabila mendapat tawaran kerja di sini saya tidak teragak-agak untuk menerima, malahan keluarga juga amat menyokong saya. Saya berbangga bekerja dengan Alam Flora,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI