ABUJA, Nigeria – Seorang lelaki kanibal di Nigeria yang didakwa membunuh dan memenggal kepala isteri bapa saudaranya, ditangkap ketika dia memasak serta memakan anggota badan tersebut, lapor akhbar The Sun UK kelmarin.
Suspek, Jeremiah Ode, 45, dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan membunuh Priscilla Adoga, 65, dan mengamalkan cara hidup kanibalisme.
Lelaki yang tinggal di Igwe Ochekpo, Oju itu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Makurdi atas dakwaan membunuh mangsa dengan menggunakan sebilah parang awal bulan ini ketika dia bekerja di ladangnya.
Ode dilaporkan ditangkap sedang memakan kepala mangsa di sebuah lokasi di negeri Benue.
Seorang penduduk dari Oju, Silas Igiri melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa, demikian menurut pendakwa raya, Inspektor Omaye Ujata.
Katanya, suspek memenggal kepala wanita itu yang digunakan untuk memasak ‘sup lada’ .
Saudara-mara Adoga menyedari kehilangan wanita itu selepas dia tidak pulang dari ladang pada waktu biasa.
Menurut beberapa laporan, Ode dikenali dalam masyarakat tempatan sebagai individu yang mempunyai masalah kesihatan mental.
Ode dilaporkan memberitahu polis bahawa dia dan mangsa bergaduh dengan parang sebelum dia memenggal kepala Adoga.
“Polis menganggap keterangan itu ‘normal’ untuk seseorang yang dianggap gila lalu memutuskan untuk mendakwa suspek.
Ketua Majistret, Regina Alagh memerintahkan tertuduh direman di sebuah penjara tempatan. – Agensi