fbpx

Jualan kukuh kenderaan baharu faktor pencetus keuntungan Pecca

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pecca mahu mempelbagaikan cabang perniagaan baharu ekoran kedudukan kewangan yang semakin kukuh.

PETALING JAYA – Pengeluar upholsteri kulit automotif, Pecca Group Berhad (Pecca) mencatat rekod tertinggi baharu bagi keuntungan selepas cukai (PAT) bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022.

PAT bagi tahun kewangan 2022 adalah sebanyak RM22.8 juta mewakili peningkatan sebanyak 18.8 peratus berbanding RM19.2 juta bagi tahun kewangan sebelumnya.

Pendapatan Kumpulan bagi tempoh berkenaan pula naik sebanyak 13.6 peratus kepada RM164.4 juta berbanding RM144.8 juta tempoh kewangan yang sama sebelum ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Pecca, Foo Ken Nee berkata, prestasi menggalakkan itu didorong oleh  jualan yang lebih kukuh daripada segmen automotif yang mana pelanggannya terdiri daripada Proton, Perodua, Nissan, Toyota, Peugeot dan Volkswagen. 

“Kumpulan menyaksikan sumbangan yang lebih tinggi daripada hampir semua geografi pasaran  iaitu Malaysia, seluruh Asia, Eropah dan Amerika Utara. 

“Pasaran ini secara kolektif menyumbang 99 peratus daripada Pecca pada tahun kewangan 2022,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Tambah beliau, Pecca adalah penerima manfaat utama pemulihan berterusan dalam industri automotif. 

“Memandangkan pengeluar automotif tergesa-gesa untuk memenuhi pesanan tertunggak mereka, ditambah pula dengan pelancaran model kereta baharu oleh pelanggan jangka panjang kami, ini telah meningkatkan prestasi kewangan kami pada tahun kewangan 2022. 

“Pada akhir Jun lalu, segmen automotif kami bergerak pada kapasiti operasi maksimum dan kami juga telah membuka syif baharu untuk memenuhi pesanan tambahan,” ujarnya. 

Tambah beliau, Kumpulan juga sedang mengembangkan kapasiti pengeluarannya kepada kira-kira 40,000 hingga 50,000 tempat duduk sebulan menjelang akhir 2023 berbanding 20,000 hingga 22,000 tempat duduk pada masa ini.  -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI