fbpx

Jabatan Kesihatan sita produk makanan bernilai RM26,390 di Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara produk makanan yang diperiksa dan disita JKNS baru-baru ini.

SHAH ALAM – Sejumlah 3,503 produk makanan pelbagai jenis termasuk tamat tarikh luput yang dijual di seluruh negeri disita baru-baru ini.

Penyitaan produk yang bernilai keseluruhan bernilai RM26,390 itu dilakukan menerusi Operasi Penguatkuasaan Label Makanan pada 24 Ogos lalu dijalankan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) bersama 11 Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan Pejabat Kesihatan Pintu Masuk di negeri ini.

Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr. Sha’ari Ngadiman berkata, operasi itu melibatkan pemeriksaan di 49 buah pasar raya, pasar raya mini, kedai serbaneka dan kedai runcit.

Katanya, ini melibatkan pemantauan terhadap 7,297 produk makanan secara keseluruhannya.

“Hasilnya didapati 3,136 produk telah melanggar pelbagai kesalahan berkaitan pelabelan, produk telah tamat tarikh luput (258) dan 109 produk yang bungkusannya rosak seperti tin kemek dan kembung.

“Kesemua produk makanan itu bernilai RM26,390 disita mengikut Seksyen 4(1)(f) dan persetujuan pelupusan di bawah Seksyen 4(8), Akta Makanan 1983,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, sebanyak 31 Notis 32B (notis memerintahkan kehadiran di mahkamah) yang bernilai kira-kira RM91,500 atas pelbagai kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 telah dikeluarkan semasa operasi ini.

Sha’ari menegaskan, objektif utama operasi ialah untuk memastikan makanan yang dijual di pasaran tempatan adalah selamat dan berkualiti.

“Ini selaras dengan keperluan pelabelan yang termaktub di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya.

“JKNS sentiasa peka terhadap status keselamatan dan kualiti makanan yang dijual kepada orang ramai khususnya melibatkan aspek berkaitan pelabelan dan integriti bungkusan makanan yang berada di pasaran,” katanya.

Justeru, beliau menasihatkan pengguna supaya sentiasa peka dan membaca label pada produk makanan serta memeriksa keadaan bungkusannya terlebih dahulu. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI