PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mungkin mempertimbangkan untuk membentangkan Bajet 2023 di Dewan Rakyat pada 7 Oktober depan sekiranya dibenarkan berbuat demikian mengikut sistem Perlembagaan negara.
Ismail Sabri berkata, setakat ini, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dijangka membentangkan belanjawan tersebut di Dewan Rakyat nanti.
“Belum tahu siapa (membentangkan Bajet 2023), setakat ini Menteri Kewangan (berbuat demikian). Kena tengok daripada segi Perundangan dan Perlembagaan dahulu.
“Kalau tidak boleh, tidak mengapa, kalau boleh, ia boleh dipertimbangkan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-18 (MAPPA XVIII) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini tadi.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada akan membentangkan Belanjawan 2023 atau sebaliknya nanti.
Perdana Menteri berkata, beliau juga akan menunggu nasihat daripada Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan lanjut diputuskan.
Bajet 2023 sepatutnya dibentangkan pada 28 Oktober depan, namun dibuat tiga minggu lebih awal iaitu pada 7 Oktober depan.
Sebelum ini, Bajet 2022 telah dibentangkan Tengku Zafrul dengan mengikut kebiasaan Dewan Rakyat di mana Menteri Kewangan perlu membuat pembentangan berkenaan. – KOSMO! ONLINE