MELAKA – Tindakan seorang lelaki merompak kenalan sendiri dengan membawanya menaiki kereta berbalas apabila dijatuhi hukuman penjara empat tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Hakim Nariman Badruddin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Muhammad Al Suffian Ab. Razak, 34, yang membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati telah merompak barang kemas, seutas jam tangan dan sebuah telefon bimbit milik seorang wanita warga Indonesia bernama Puani dengan menggunakan senjata iaitu gunting.
Tindakan itu dilakukan tertuduh kira-kira pukul 9 malam di tepi jalan di Lipat Kajang dalam daerah Jasin pada 9 Ogos lalu.
Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan hendaklah dikenakan denda atau sebat.
Mengikut fakta kes, sebelum kejadian tertuduh telah berjumpa dengan mangsa di parkir di sebuah restoran di Ayer Keroh Height dan membawanya menaiki kereta Perodua Myvi menuju ke Port Dickson.
Tertuduh kemudian menukar haluan mendakwa ingin mengambil cempedak di rumah datuknya di Jasin dan sebaik sahaja keluar dari Plaza Tol Jasin, dia telah memberhentikan kenderaan lalu merampas barang kemas, jam serta telefon bimbit mangsa sebelum meninggalkan wanita itu di tepi jalan.
Terdahulu tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukumannya diringankan dengan alasan perlu menjaga isteri serta anak-anaknya yang masih kecil termasuk berusia tiga bulan, selain telah insaf.
Timbalan Pendakwa Raya, Anis Najwa Nazari bagaimanapun memohon hukuman setimpal sebagai pengaran kepada tertuduh.
Selepas mendengar hujan kedua pihak mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman empat tahun penjara dan satu sebatan dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu 18 Ogos lalu. -KOSMO! ONLINE