PETALING JAYA – Pelakon Jay Iswazir mengambil pendekatan mengunci mulut berhubung babak kontroversi dalam filem Abang Long Fadil 3.
Jay sebaliknya mahu memberi laluan tayangan kepada filem Abang Long Fadil 3 berbanding mengulas babak kontroversi tersebut iaitu adegan berciuman dengan pelakon Elizabeth Tan.
“Ooo mengenai isu itu, saya enggan memberi sebarang komen. Biarlah saya memberi laluan buat filem berkenaan saja,” kata Jay ketika dihubungi Kosmo! Online.
Terdahulu, Elizabeth yang bergandingan dengan Jay mengakui adegan bercium dalam filem tersebut dilakukan sendiri tanpa bantuan teknik kamera.
Tambah Elizabeth atau mesra disapa Lizzy babak berkenaan dijayakan ketika dia belum menjadi bergelar isteri kepada Dr. Siew Jim.
“It’s real (aksi tersebut benar-benar dilakukan) Kalaulah adegan tersebut saya dapat lakukan dengan lebih lagi. Tetapi babak itu hanya begitu sahaja.
“Kalau diberi peluang sekarang, macam-macam sudah saya fikirkan. Lagipun, ketika adegan itu dibuat, saya belum berkahwin dan Jay okay dengan babak tersebut,” kata Lizzy
Selain Lizzy dan Jay, Abang Long Fadil 3 menampilkan pelakon terkenal tanah air seperti Zizan Razak, Johan, Maya Karin, Datuk AC Mizal, Khir Rahman, Shuib, Kazar, Ozlyn Wati, Tania Hudson, Joey Daud, Daniella Sha dan Siraj.
Filem terbitan Skop Productions Sdn. Bhd dan Astro Shaw itu akan menemui penonton mulai 8 September ini. – KOSMO! ONLINE