SEGAMAT – Seorang kanak-kanak maut manakala empat yang lain selamat selepas kenderaan Perodua Kancil dinaiki mereka terbabas lalu menjunam ke dalam gaung sedalam tujuh meter di Jalan Buloh Kasap -Kuala Paya, di sini, petang tadi.
Dalam nahas kira-kira pukul 2.55 petang itu, mangsa, Riz Haikal Ereyentoo disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas tersepit dalam yang terjunam sebelum terbalik.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Segamat berkata, sepasukan enam pegawai dan anggota bersama jentera dari Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Segamat dikerahkan ke lokasi sebaik menerima maklumat pada pukul 3.06 petang.
“Setibanya di lokasi, kami dapati kemalangan membabitkan kenderaan jenis Perodua Kancil terbabas sendiri ke gaung sedalam tujuh meter.
“Terdapat lima mangsa terbabit dilaporkan. Seorang mangsa telah tersepit dari kenderaan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mangsa kanak-kanak lelaki maut tersepit di tempat duduk belakang kenderaan itu berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba.
“Seorang wanita berusia 39 tahun dipercayai pemandu kenderaan tersebut serta tiga kanak-kanak berusia enam tahun kemudiannya keluar sendiri dari kenderaan dan dihantar ke pusat perubatan berhampiran untuk rawatan lanjut,”katanya.
Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi ditamatkan kira-kira pukul 5.29 petang.-KOSMO! ONLINE.