fbpx

Buat hantaran jelik tidak puas hati disaman, lelaki didenda RM5,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh diiringi anggota polis dan pegawai penyiasat selepas dihadapkan di Mahkamah Sesyen di Ayer Keroh, Melaka hari ini.

MELAKA – Padah membuat hantaran jelik di laman Facebook terhadap anggota trafik ekoran tidak berpuas hati disaman, seorang lelaki didenda sebanyak RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Hakim Nariman Badruddin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Lau Siong Ping, 38, yang membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati telah menggunakan akaun Facebook miliknya secara sedar untuk membuat komen palsu dan jelik sifatnya #darkpolice bagi menyakitkan hati terhadap anggota trafik, Zia Azri Kamsani, 31, dan telah memulakan penghantaran dalam akaun tersebut.

Hantaran itu telah dibaca pada 4 Mac 2021 pada pukul 9 pagi di pejabat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.

Bagi tindakan itu, tertuduh yang bekerja sebagai ‘runner’ hotel didakwa di bawah Seksyen 233(1)(a)(ii) Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 dan boleh dihukum di bawah akta sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali dan hendaklah juga didenda selanjutnya RM1,000 setiap hari kesalahan itu diteruskan tanpa pensabitan.

Mengikut fakta kes, tertuduh telah membuat hantaran tersebut susulan tidak berpuas hati ekoran disaman oleh anggota berkenaan atas kesalahan lalu lintas pada 3 Mac 2021. Hantaran itu turut tular di Facebook dan dikongsikan oleh 147 pengguna lain.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan diberikan dengan alasan hantaran itu dibuat dalam keadaan marah dan keluarganya juga tidak mengetahui mengenai sabitan kesalahan, selain tidak mempunyai pendapatan tetap.

Timbalan Pendakwa Raya, Anis Najwa Nazari bagaimanapun memohon hukuman setimpal diberikan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

Selepas mendengar hujah kedua pihak, mahkamah memerintahkan tertuduh membayar denda sebanyak RM5,000 atau penjara dua bulan jika gagal bayar. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI