PETALING JAYA – Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin, 4, kini dilihat semakin stabil dan sihat selain mula aktif bermain dengan adiknya di rumah.
Bapanya, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak yang berkongsi mengenai perkembangan itu berkata, Ainul Mardhiah telah dibenarkan pulang pada Jumaat lalu selepas lebih tiga minggu dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) di sebuah hospital.
“Alhamdulillah Ainul sekarang dah bersama kami di rumah, doktor benarkan keluarkan hospital pada Jumaat lalu.
“Keadaan Ainul juga semakin stabil dan sihat,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Terdahulu, Ainul Mardhiah dimasukkan ke PICU disebabkan jangkitan kuman serta turut mengalami serangan sawan berulang beberapa kali.
Bagaimanapun, Ahmad Safiuddin memaklumkan Ainul Mardhiah masih perlu mendapatkan rawatan susulan sekali seminggu sehingga doktor berpuas hati dengan tahap kesihatannya.
Semalam, ibu Ainul Mardhiah, Nurul Erwani Zaidi memuat naik video memaparkan dua anaknya itu sedang bermain bersama menerusi InstaStory.
Raut wajah Ainul Mardhiah juga kelihatan gembira dapat berada di rumah bersama keluarga tercinta. – KOSMO! ONLINE