PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengingatkan rakyat supaya sentiasa berwaspada terhadap musuh dalam selimut yang boleh memecahbelahkan perpaduan rakyat dan menggugat kestabilan negara.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, baginda bertitah segala fitnah dan hasutan golongan itu adalah bercanggah dengan prinsip-prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara yang merupakan kunci kepada keharmonian dan perpaduan yang kukuh.
“Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mendoakan agar negara tercinta ini terus berada dalam rahmat dan perlindungan Allah S.W.T daripada segala musibah dan bencana.
“Semoga Allah S.W.T akan terus memelihara dan melimpahi Malaysia yang tercinta dengan keberkatan rezeki, kemakmuran, kesejahteraan serta keamanan dan perpaduan yang berkekalan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Al-Sultan Abdullah bertitah demikian sempena Hari Kebangsaan Ke-65 yang akan disambut esok.
Terdahulu, Ahmad Fadil berkata, Yang di-Pertuan Agong bertitah adalah menjadi tanggungjawab semua pihak dalam memelihara dan mempertahankan keharmonian yang telah dikecapi serta menyemarakkannya lagi sebagai sebuah Keluarga Malaysia.
“Seri Paduka Baginda berpandangan sekiranya rakyat bersatu dan tahu peranan masing-masing serta berpegang teguh kepada kunci tersebut, maka kita mampu membendung segelintir golongan yang bersikap atau bersifat ekstremis yang menabur fahaman perpecahan serta menyemarak api perkauman bagi mencetuskan suasana tidak aman dalam negara demi kepentingan peribadi,” katanya. – KOSMO! ONLINE.