fbpx

UTM didik kepentingan ujian saringan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBAHAGIAN daripada jawatankuasa yang terlibat pada program i-Breath anjuran UTM yang diadakan di Kampung Juara, Pulau Tioman 5 Ogos lalu.

KESEDARAN masyarakat di negara ini mengenai kepentingan membuat ujian saringan kesihatan masih di tahap kurang memuaskan.

Ini berikutan, Malaysia dianggap sebagai negara tidak sihat memandangkan jumlah rakyat yang menghidap penyakit jantung dan obesiti adalah tinggi.

Berdasarkan pemerhatian Kementerian Kesihatan (KKM), terdapat kecen­derungan dalam kalangan rakyat datang ke klinik apabila sakit.

Menyedari hakikat itu, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menganjurkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi memberi kesedaran mengenainya kepada komuniti di Pulau Tioman, Pahang baru-baru ini.

Ia dibuat dengan kerjasama Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Klinik Desa Kampung Juara, Klinik Kesihatan Kampung Tekek dan komuniti Kampung Juara di Pulau Tioman.

Program dikenali sebagai Kelestarian Transformasi Pembangunan Kesihatan dan Ekonomi Komuniti di Fasa Endemik (i-Breath), dianjurkan 5 Ogos lalu di Kampung Juara.

Menerusinya, delegasi sukarelawan UTM diwakili Biosignal ­Processing Research Group, Sekolah Kejurute­raan Bioperubatan dan Sains Kesihatan, Fakulti Kejuruteraan dan Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej 9 dan 10.

Fokus utama program itu merangkumi aktiviti pendidikan kepada masyarakat berkaitan virus Covid-19 serta penyakit-penyakit kritikal lain seperti kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung.

Menurut pengarah program itu, Prof. Madya Ir. Dr. Malarvili Bala Krishnan, program berkenaan pertama kali dianjurkan UTM untuk komuniti luar.

“Malaysia kini beralih dari fasa pandemik ke endemik, namun Covid-19 masih wujud dalam persekitaran yang mana memberi kesan kepada kesihatan tubuh manusia dalam jangka masa panjang.

“Penularan wabak Covid-19 dapat dibendung melalui saringan, pencegahan dan pengawalan awal daripada penduduk mahupun pelancong.

“Justeru, i-Breath menjadi salah satu usaha saringan kesihatan percuma kepada penduduk,” katanya.

Menurutnya, Kampung Juara dipilih lokasi program kerana akses ke­sihatan di situ hanya memiliki klinik desa.

SELAIN mendapat pemeriksaan kesihatan, penduduk turut didedahkan dengan program pendidikan mengenai virus Covid-19 serta penyakit-penyakit kritikal lain.

Ia berbeza dengan Kampung Tekek yang jarak perjalanannya mengambil masa 45 minit dari situ mempunyai fasi­liti lebih besar iaitu klinik kesihatan.

Dalam pada itu, tumpuan turut diberikan kepada pemindahan pengetahuan penggunaan dan penyelenggaraan alat sari­ngan kesihatan.

Ini kerana, alat saringan Covid-19 se­perti kit sa­ringan pantas (RTK) tidak mudah diperoleh ­seperti di bandar.

Biarpun program itu hanya sehari, namun matlamatnya berjaya dicapai menerusi i-Breath yang memberikan manfaat kepada 200 penduduk.

“Teknologi yang dipindahkan adalah melalui modul pengajaran yang diba­ngunkan tentang kesedaran dan penja­gaan kesihatan ketika endemik.

“Modul pengajaran lain adalah seperti mendepani kencing manis, darah tinggi, sawan dan lain-lain.

“Sepanjang program ini, kami berdepan dengan cabaran membawa peralatan saringan kesihatan dan ke­perluan ke Kampung Juara yang perlu melalui jalan air,” ujarnya.

Bukan itu sahaja, kata Dr. Malarvili, Klinik Desa Kampung Juara dan Klinik Kesihatan Tekek kekurangan bekalan ubat seperti ubat batuk, selesema, darah tinggi , kencing kotor dan sebagainya.

Untuk itu, dia meminta bantuan pihak swasta berhubung perkara tersebut.

Ujarnya lagi, pihaknya bercadang untuk meneruskan usaha tersebut di kawasan pedalaman lain sekitar Johor.

Penyertaan beberapa pakar perubatan dari PPUM terdiri daripada Dr. Anhar Kamarudin, Dr. Ahmad Adib Ramli, Dr. Rafi’ Uddin Radzi Ruslay dan Dr. Aina Amalina Ahmad Tarmizi sememangnya memberi impak positif.

Ini bagi memastikan masyarakat mendapat pemahaman dan kaedah tepat dalam pengendalian alat peranti i-Breath, pemantauan tekanan darah, kadar denyutan jantung, kadar oksigen dan paras gula dalam darah.

Apa yang pasti, program i-Breath memberikan pengetahuan berguna kepada penduduk, seterusnya me­ningkatkan tahap kesedaran terhadap pemantauan kesihatan.

Ia terutama dalam saringan Covid-19 dan penyakit-penyakit kritikal lain.

Selain pemindahan ilmu, dua unit peranti i-Breath, oksimeter nadi dan mesin tekanan darah ditempatkan di Klinik Desa Kampung Juara untuk kemudahan penduduk melakukan saringan kesihatan secara berkala.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Hassan Ariffin berkata, inisiatif sebegini dapat merealisasikan hasrat negara untuk melihat semua lapisan masyarakat mendapat akses kemudahan kesihatan walaupun di pedalaman.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI