KUALA TERENGGANU – Seorang tukang cuci dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar lelaki tingkatan tiga pada awal bulan ini.
Tertuduh yang berusia 32 tahun tersebut membuat pengakuan tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noriah Osman.
Berdasarkan pertuduhan, lelaki berkenaan didakwa melakukan perbuatan amang seksual itu terhadap mangsa yang berusia 15 tahun.
Perbuatan berkenaan didakwa dilakukan di dalam tandas sebuah masjid di daerah ini pada pukul 11.10 pagi, 8 Ogos lalu.
Dia didakwa di bawah Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.
Hakim Noriah membenarkan lelaki itu dibebaskan dengan wang jaminan
RM8,000 dan seorang penjamin serta menetapkan sebutan semula kes pada 28 September depan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala tertuduh pula tidak diwakili peguam. – KOSMO! ONLINE