KUALA LUMPUR – “Tidak pernah simpan dendam apatah lagi nak bawa perkara tersebut berpanjangan. Kami pun dah bertemu, bersua muka di Jakarta.”
Demikian respons spontan aktor terkenal Datuk Adi Putra ketika ditanya mengenai sifat profesionalnya walaupun sebelum ini tidak mendapat undangan daripada penerbit, Studio Kembara bagi tayangan gala filem Mat Kilau di Jakarta, Indonesia tempoh hari.
Kata Adi, baginya apa yang penting dalam hidup adalah komunikasi dua hala yang jelas dan tidak menyebabkan berlakunya sebarang masalah di kemudian hari.
“Apa yang saya boleh katakan, komunikasi ini penting dan perkara tersebut perlu ada dalam kehidupan seharian selain menjadi prinsip dalam hidup kita.
“Komunikasi ni senang cakap ibarat sebuah telefon bimbitlah. Kalau tiada signal (isyarat), maka tidak berlakulah komunikasi dua hala.
“Kalau ditanya apa yang saya rasa tempoh hari di Jakarta, jujur tiada apa yang tersirat. Saya tiada masalah, dan saya tidak tahulah yang di sebelah sana macam mana,” katanya.
Pada masa sama, Adi atau nama sebenarnya Mohamed Hadi Putra Halim berkata, dia dengan rela hati pergi ke sana bagi memenuhi undangan salah seorang pelakon Mat Kilau kelahiran sana, Yayan Ruhiyan dan pihak CBI selaku syarikat pengedar.
“Ya saya pergi memang gunakan duit sendiri dan segala kos perbelanjaan ditanggung sendiri sepanjang beberapa hari di sana bersama rakan pelakon, Johan As’ari.
“Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan semoga Mat Kilau diterima baik serta maju jaya di sana,” katanya.
Ditebak mengenai penyelesaian yang cuba diambil Adi untuk menyelesaikan isu dan salah faham yang berlaku, Adi berkata dia sentiasa bersifat terbuka untuk ke arah itu.
“Kalau yang jenis kenal saya, saya ni seorang yang forgive and forget (maaf dan melupakan). Itulah adalah prinsip yang saya pegang selama ini.
“Kita ni hidup ke depan dan jangan sesekali undur ke belakang. Bila hidup ke depan, kita jadi malas nak imbas semula apa yang berlaku,” katanya.
Tambah pelakon kelahiran Kota Singa itu, dia tiada masalah untuk menjalinkan kerjasama dengan mereka lagi andai naskhah yang ditawarkan kelak berkualiti dan sesuai dengannya.
“Untuk bekerjasama, saya akan pertimbangkan. Mereka pun tahu saya bagaimana dan jenis yang sangat selektif bagi sesebuah naskhah,” katanya ketika ditemui pda sidang akhbar majlis pelancaran minyak aroma terapi Amrani keluaran syarikat Gramps Asia di sini sebentar tadi.
Terdahulu, Adi teguh dengan prinsipnya enggan hadir ke tayangan gala filem epik, Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan di Jakarta, Indonesia.
Tegas Adi, keputusan untuk tidak sama-sama menyertai tayangan gala yang dijadualkan berlangsung pada Jumaat lepas ekoran masalah komunikasi yang tercetus dengan penerbit filem berkenaan, Studio Kembara sebelum ini.
Adi yang melakonkan watak utama sebagai Mat Kilau turut memuat naik hantaran dalam Instagramnya seperti menyindir pihak produksi filem yang sukar dihubungi.
Menerusi hantaran tersebut, Adi menyuarakan hasratnya untuk menghadiahkan telefon bimbit kepada pihak Studio Kembara selepas didakwa susah untuk dihubungi.
Bagaimanapun, penerbit filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, Abdul Rahman Mt Dali menafikan berlaku salah faham antara pihaknya dengan Adi Putra hingga aktor itu memuat naik hantaran berbaur sinikal dalam media sosialnya.
Hantaran terbaharu Adi yang berkongsi foto dia bersama Johan ketika hadir malam gala Mat Kilau di Jakarta minggu lalu bagaikan satu kejutan dan menyifatkan kedatangannya adalah atas undangan CBI dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS). – KOSMO! ONLINE