SEIRING populariti seseorang artis, obsesi peminat terhadap mereka juga sukar dibendung sehingga mengundang banyak insiden yang tidak terjangka.
Penyanyi Taehyun contohnya mengalami pengalaman yang merimaskan apabila mendakwa dia diganggu peminat fanatik atau sasaeng ketika menaiki penerbangan ke Amerika Syarikat baru-baru ini.
Penyanyi itu terbang ke negara Uncle Sam tersebut bagi memenuhi undangan menjayakan persembahan KCON LA 2022.
Bagaimanapun, dedah anggota kumpulan TXT itu, sepanjang tempoh penerbangannya, dia menempuhi momen yang merimaskan apabila seorang sasaeng duduk di kerusi di hadapannya.
“Saya akan layan awak dengan baik di acara bertemu peminat kalau awak tengok ini, jadi saya harap awak jangan ulanginya lagi.
“Dia kerap melihat ke belakang dan ambil foto ketika saya hendak tidur. Dia olok-olok mengambil swafoto sedangkan dia curi ambil gambar saya. Terima kasih kepada awak, saya hadapi momen yang sangat tidak selesa,” ujarnya sinis.
Ini bukan kali pertama penyanyi itu diganggu sasaeng. Akibat kerap menjadi mangsa peminat obses, dia selalu lantang bersuara memberi amaran terhadap golongan itu agar menghentikan perbuatan tidak bermoral mereka.