fbpx

Tadika swasta makin tenat, tak mampu tanggung kos operasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Trend kekurangan murid memberi tekanan kepada pengusaha tadika untuk menguruskan operasi dan meneruskan kelangsungan perniagaan. – GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA – Banyak tadika swasta di seluruh negara kini berada dalam keadaan ‘nazak’ apabila pengusahanya berdepan situasi kekurangan murid selepas ramai ibu bapa kini menghantar anak ke tadika kerajaan yang lebih murah yuran berbanding swasta.

Persatuan Tadika Islam Malaysia (Pertim) mendedahkan lebih separuh daripada 1,000 ahlinya kini sedang bergelut untuk meneruskan operasi tadika masing-masing ekoran masalah itu.

Naib Pengerusi Pertim, Zaharah Awang berkata, keadaan bertambah getir apabila kebanyakan pengusaha tadika tidak mampu menampung kos operasi yang semakin meningkat teruta­ma sewa bangunan dan gaji pe­kerja.

Menurutnya, semua tadika swasta khususnya di bawah Pertim tidak mendapat dana atau geran daripada kerajaan untuk menguruskan sesebuah tadika.

“Kami beroperasi sepenuhnya menggunakan dana sendiri serta yuran yang dikutip daripada murid. Dengan duit inilah kita belanja untuk makan, bayar gaji guru, sewa bangunan dan pelbagai kos lain yang semakin meningkat.

“Jadi apabila kekurangan murid, ramai pengusaha yang tidak dapat bertahan dan ada yang terpaksa membuang pekerja, menutup sementara operasi, malah ada yang gulung tikar,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Ujarnya, situasi itu berbeza dengan tadika di bawah selian kerajaan seperti Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan Perpaduan kerana urusan gaji, makan minum dan sewa premis semuanya dibiayai kerajaan.

Kata beliau, tadika miliknya yang terletak di Sungai Udang, Klang juga mengalami kekura­ngan murid yang sangat ketara selepas negara dilanda pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Pe­rintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

“Sebelum ini, tadika saya mempunyai lebih 70 murid, tetapi kini sekitar 45 orang sahaja dan ada kalanya ramai yang tidak pergi sekolah disebabkan penularan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD), influenza dan juga Co­vid-19 yang masih belum reda.

“Ramai ibu bapa juga bergelut dengan keadaan ekonomi dan kos sara hidup yang tinggi menyebabkan mereka mencari tadika yang lebih murah untuk anak-anak,” ujarnya.
Pemilik Tadika Ceria Az-Zahrah itu berkata, jika keadaan tersebut berterusan, pihaknya yakin lebih ramai ahlinya akan gulung tikar.

Justeru, beliau berharap kerajaan dapat membantu pengusaha tadika swasta seperti menyediakan dana atau geran supaya mereka dapat meneruskan ke­langsungan operasi.

Kosmo! pada Januari lalu me­laporkan, golongan M40 perlu menyediakan bajet sekitar RM6,000 setahun untuk menghantar anak mereka yang berusia empat hingga enam tahun belajar di tadika swasta.

Caj yang dianggap membebankan itu jauh lebih mahal jika dibandingkan dengan yuran pe­ngajian peringkat ijazah sarjana muda di universiti awam iaitu sekitar RM2,500 hingga RM4,500 setahun.

Tinjauan Kosmo! di beberapa tadika swasta di Lembah Klang mendapati, ibu bapa perlu mem­bayar sekurang-kurangnya RM2,500 untuk pendaftaran, manakala yuran bulanan bagi sesi pembelajaran selama enam jam sehari adalah antara RM300 hingga ke RM500.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI