BAGAN SERAI – Perak menyasarkan 50 pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) kali ke-20 yang akan berlangsung pada 16 hingga 24 September ini di Kuala Lumpur.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, seramai 531 orang atlet dari negeri ini akan menyertai 426 acara melibatkan 31 jenis sukan yang dipertandingkan pada temasya tersebut.
“Kerajaan negeri akan memberi insentif kepada atlet-atlet yang berjaya merangkul pingat dalam Sukma kali ini.
“Bagi kategori individu yang berjaya meraih pingat emas, atlet tersebut akan mendapat insentif sebanyak RM5,000 bagi pingat emas, RM3,000 (perak) dan RM1,000 bagi gangsa,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Negeri Perak Ke Temasya Sukma Kuala Lumpur 2022 di Dewan Sebarau, Bukit Merah Laketown Resort di sini.
Menurut Saarani, bagi berpasukan pula, kerajaan negeri akan menganugerahkan insentif setiap seorang sebanyak RM2500 untuk pingat emas, RM1500 (perak) dan RM500 bagi pingat gangsa.
“Bagi atlet yang berjaya memecah rekod Sukma pula akan diberi wang insentif sebanyak RM1,000.
“Kita percaya dengan adanya insentif yang diberikan oleh Kerajaan negeri ini akan lebih mendorong semangat atlet-atlet untuk atlet lebih berusaha mencapai sasaran yang telah ditetapkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE