fbpx

Rumah musnah dilanda banjir besar, asnaf terima rumah baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DR. Abdul Aziz Sheikh Abdul Kadir (empat dari kiri) menyerahkan replika kunci rumah kepada Rahimah (tiga dari kiri) pada Majlis Penyerahan Rumah Mawaddah di Kampung Jimah Lama, Port Dickson hari ini.

PORT DICKSON – Prihatin dengan nasib seorang penerima Baitulmal yang rumah daifnya musnah akibat banjir pada hujung tahun lalu, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) tampil membina sebuah rumah baharu menerusi program Rumah Mawaddah.

Program bina rumah baharu hasil bantuan zakat itu membolehkan, Rahimah Abdul Majid, 56, menerima sebuah rumah yang didirikan di atas tanah pusaka keluarganya yang terletak di Kampung Jimah Lama, di sini.

“Saya telah tinggal di sini sejak 20 tahun lalu dan memang banjir kerap berlaku terutama sejak 10 tahun yang lalu. Memang selalu rumah saya akan terjejas dan dinaiki air.

“Bagaimanapun pada 18 Disember lalu, hujan lebat dan banjir besar telah memusnahkan rumah dan saya tidak dapat untuk tinggal di sini lagi.

“Saya bersyukur dan berterima kasih apabila MAINS tampil dengan keprihatinan mereka dengan membina sebuah rumah baharu buat saya. Alhamdulillah, rumah baharu ini adalah hikmah disebalik kejadian banjir besar itu buat saya,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Rumah Mawaddah di Kampung Jimah Lama hari ini yang disempurnakan oleh Pengerusi MAINS, Datuk Dr. Abdul Aziz Sheikh Abdul Kadir.

Sementara itu, Abdul Aziz berkata, pembinaan rumah baharu buat Rahimah itu melibatkan kos peruntukan berjumlah RM83,710 termasuk perabot dan ia telah disiapkan dalam tempoh tiga bulan.

“Rumah yang didiami Rahimah sebelum ini agak daif dan MAINS membina rumah baharu ini dengan reka bentuk tinggi bagi mengelakkan ia terjejas sekiranya kejadian banjir berulang.

“Selain Rahimah, terdapat seorang lagi penerima inisiatif Rumah Mawaddah ini yang tinggal di Kampung Sungai Sekawang, Pasir Panjang, Port Dickson. Terdapat dua orang penerima di setiap daerah di negeri ini,” katanya.

Beliau dalam pada itu memaklumkan, program Rumah Mawaddah tersebut adalah khusus kepada golongan asnaf yang layak dan tiada sebarang bayaran dikenakan kepada pemilik. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI