SHAH ALAM – Kes kematian seorang remaja lelaki dalam kejadian kebakaran di sebuah tandas di Saujana Utama, Sungai Buloh dekat sini semalam disiasat kerana menyebabkan kematian tanpa niat.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, sebelum ini kes yang menimpa mangsa berusia 16 tahun diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR).
Susulan kejadian itu, polis menahan dua rakan mangsa berusia 15 dan 16 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan.
“Ujian saringan air kencing dua remaja itu negatif dadah. Permohonan reman ke atas mereka akan dibuat pada pagi ini,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini hari ini.
Beliau memberitahu, mayat mangsa tidak rentung sepenuhnya dan pihaknya masih menunggu laporan patologi bagi menentukan punca kematian remaja tersebut.
Kosmo! Online semalam melaporkan tindakan dua remaja bermain api membawa padah apabila seorang rakan mereka maut dalam kejadian di sebuah tandas awam di Lorong Cakera Purnama 12/21, Saujana Utama.
Ketika kejadian dua rakan mangsa memaklumkan, remaja berusia 16 tahun itu sedang baring di atas sofa di dalam tandas.
Mangsa dikatakan tertidur sebelum terjaga. Rakannya memanggil mangsa untuk keluar dari tandas tetapi dia baring semula di atas sofa. – KOSMO! ONLINE