MILAN – AC Milan semakin terdesak untuk mengikat kontrak jangka panjang dengan Rafael Leao selepas pemain sayap sensasi itu mempamerkan aksi memukau apabila membantu pasukan itu melakar kemenangan 2-0 ke atas Bologna awal pagi semalam.
Pada perlawanan yang berlangsung di San Siro itu, Leao yang juga pemain antarabangsa Portugal berjaya merekodkan satu jaringan sebelum mencipta peluang buat penyerang utama, Olivier Giroud menjaringkan gol kedua pasukan.
Pengendali The Rossoneri, Stefano Pioli percaya pihak pengurusan perlu segera berbincang dengan Leao mengenai peluang untuk melanjutkan kontrak sebelum bakatnya disambar gergasi Eropah yang lain.
“Saya anggap Leao sebagai permata baharu Milan ketika ini. Dia memiliki bakat yang luar biasa dan semakin menunjukkan peningkatan ketara daripada satu perlawanan ke satu perlawanan selain kekal positif di atas padang.
“Namun, masih ada beberapa kelemahan yang perlu dia diperbaiki dan dalam masa yang sama, saya harap dia dapat kekal untuk tempoh yang lama bersama pasukan kami,” katanya.
Sementara itu, Pioli turut memuji penyerang baharu, Charles De Ketelaere yang dilihat tidak mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri dengan pasukan selepas berhijrah daripada Club Brugge awal bulan ini.
“Ketelaere adalah pemain berbakat besar dan anda boleh lihat kualiti yang ada padanya dalam aksi kali ini. Namun, dia masih lagi muda dan banyak lagi perkara yang perlu dipelajari sebelum mencapai potensi sebenar,” katanya. – AGENSI