fbpx

PPZ-MAIWP, HABIB laksana Kempen Zakat Emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Hakim (kanan), dan Pengurus Besar Kanan Jualan dan Pemasaran Habib, Zaruddin Mahmud bergambar pada majlis Pelancaran Kempen Zakat Emas, di Habib Ampang Point, di sini hari ini. /FOTO SHIDDIEQIIN ZON

AMPANG – Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dengan kerjasama HABIB melaksanakan Kempen Zakat Emas dengan sasaran RM500,000 kutipan zakat emas daripada 1,000 pembayar bermula 1 sehingga 30 September ini.

Menerusi kempen bertemakan Permata Firdausi itu, HABIB merupakan syarikat barangan kemas pertama dipilih oleh PPZ-MAIWP melaksanakan kerjasama tersebut dalam meningkatkan kesedaran menunaikan zakat emas khusus kepada pelanggan mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman berkata, kempen ini menawarkan pelbagai hadiah istimewa berupa baucar tunai HABIB bernilai sehingga RM10,000 dan 10 syiling wafer emas edisi terhad HABIB kepada pembayar bertuah.

Menurutnya, malah sepanjang kempen berlangsung, PPZ-MAIWP turut mempromosikan barangan kemas jenama HABIB dalam kalangan pembayar zakat.

“Kempen Zakat Emas ini merupakan antara inisiatif kolaborasi perkongsian pintar antara PPZ-MAIWP dan HABIB, diilhamkan daripada trend peningkatan kesedaran dan kepekaan masyarakat untuk membeli, melabur dan menyimpan emas yang kini tidak hanya terhad kepada wanita, malah golongan lelaki.

“PPZ-MAIWP memilih HABIB sebagai rakan sinergi kerana yakin dengan jenama dan kredibilitinya sebagai salah satu syarikat barangan kemas di Malaysia,” katanya pada sidang akhbar pelancaran Kempen Zakat Emas di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, pelbagai program diadakan bersama HABIB antaranya bual bicara santai, khidmat nasihat kepada pelanggan berhubung taksiran dan bayaran zakat, pakej wakalah, agihan zakat selain promosi semasa barangan kemas HABIB.

Sementara itu, Pengurus Besar Kanan Jualan dan Pemasaran HABIB, Zaruddin Mahmud berkata, kempen itu julung kali diadakan oleh HABIB dan ia bukan bertujuan mempromosi jenama tersebut tetapi, memberi pengetahuan kepada pelanggan mengenai emas termasuk zakat emas.

Katanya, kerjasama antara dua organisasi ini diharap dapat mengubah persepsi pelanggan terhadap kewajipan membayar zakat emas iaitu pembayarannya bukan sesuatu yang rumit malah, proses tersebut mudah jika mempunyai pengetahuan lebih mendalam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI