Menunggang motosikal menjadi pilihan ramai orang yang bekerja di ibu kota Kuala Lumpur bagi mengelak daripada terperangkap dalam kesesakan teruk lalu lintas pada waktu puncak ketika pergi dan pulang dari kerja.
Penggunaan motosikal juga berbaloi dan menjimatkan perbelanjaan bulanan kerana tidak perlu membayar tol dan kos petrol yang rendah berbanding kereta.
Namun, sikap segelintir penunggang motosikal yang menjadikan jalan raya seolah-olah hak milik peribadi memberikan gambaran negatif kepada mereka yang berhemah dan menunggang secara bijaksana.
Sebagai pengguna yang memandu kereta untuk ke pejabat, penulis sering bertemu dengan penunggang motosikal yang bersikap mementingkan diri sendiri dan susah untuk memberi laluan kepada orang lain.
Pernah sekali penulis memberi isyarat untuk memasuki lorong sebelah kanan dan sebelum itu telah melihat dari cermin sisi dan belakang tiada motosikal kelihatan.
Namun tiba-tiba entah dari mana, kelihatan sebuah motosikal dari jauh membunyikan hon yang panjang tidak mahu memberikan laluan kepada penulis untuk menukar lorong, seolah-olah kenderaan yang ditunggangnya tidak mempunyai brek.
Inilah antara sikap buruk penunggang motosikal seolah-olah merekalah raja di jalan raya mengalahkan populariti jenama sebuah kereta yang mendapat jolokan King disebabkan sikap tidak bertanggungjawab segelintir pihak memandu secara semberono.
Sikap mementingkan diri sesetengah penunggang motosikal tidak terhenti setakat itu kerana ramai yang seolah-olah seperti tidak sayangkan nyawa sendiri dan orang lain kerana melanggar lampu isyarat merah.
Ia kini seakan menjadi trend terutama bagi mereka yang bekerja di sektor e-hailing yang memberi alasan ingin cepat sampai kepada pelanggan.
Persoalannya, berapa lama sangatkah berhenti di lampu merah, lima minit?, 10 minit? Lampu merah tak sampai pun empat minit. Adakah kerana perlu menunggu selama empat minit, maka anda akan terlambat sejam? Sudah tentu tidak.
Anda lambat kerana memang anda sudah terlambat. Menyalahkan lampu isyarat cuma satu alasan yang tidak boleh diterima pakai.
Sikap-sikap buruk dalam kalangan penunggang motosikal sebeginilah yang mengakibatkan kemalangan hingga boleh membawa maut.
Saban tahun, kadar kemalangan jalan raya meningkat dan paling banyak melibatkan penggunaan motosikal yang bersikap cuai, tidak sabar dan mementingkan diri.
Ini belum lagi kalau nak diceritakan tentang perlumbaan haram melibatkan mat rempit, lagi banyak kes kematian dicatatkan.
Kalau inilah sikap mereka yang menunggang motosikal sesuka hati, laju, mencelah sana sini dan tidak memberi laluan kepada kenderaan lain, sampai bila-bila ia tidak selesai.
Mereka perlu ingat, apabila menunggang motosikal, dilanggar tergolek, melanggar pun tergolek. Jadi berhati-hatilah dan jangan memberi persepsi negatif kepada penunggang yang berhemah dan patuh undang-undang.