PETALING JAYA – Ramai orang muda sekarang didapati kuat melatah disebabkan sikap suka mengajuk orang lain dan akhirnya menjadi tabiat.
Melatah adalah perbuatan yang berlaku di luar kawalan disebabkan usikan orang lain secara tiba-tiba dan ‘sindrom’ itu tidak boleh diubati.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar berkata, sindrom melatah bukan disebabkan keturunan, sebaliknya berlaku kerana usikan.
Menurutnya, sindrom melatah juga secara lazimnya hanya berlaku di Asia Tenggara khususnya di Malaysia dan Indonesia.
“Namun, terdapat rekod di mana ia berlaku dalam komuniti kecil di sekitar Filipina, Jepun, Canada dan China, tetapi kebanyakannya berlaku dalam kalangan orang Melayu.
“Melatah ini juga bukan disebabkan penyakit keturunan atau genetik, sebaliknya ia disebabkan perbuatan yang kerap dilakukan sehingga menjadi kebiasaan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Sementara itu, Pakar Kesihatan Pekerjaan, Kecemasan dan Kesihatan Awam, Dr. Hanafiah Bashirun berkata, sindrom melatah ini tidak mempunyai ubat atau rawatan khusus yang dapat dilakukan.
“Ia hanya bergantung kepada pesakit itu sendiri untuk menyelesaikan masalah mereka dan tiada angka atau statistik yang dapat menyatakan jumlah sebenar individu yang melatah.
“Namun, anak muda kini dilihat semakin ramai yang melatah, mungkin disebabkan terbawa-bawa gelagat tersebut sehingga sukar dibuang.
“Terdapat individu yang melatah akan menari, melakukan perbuatan di luar kawalan, mengajuk perkataan dan ada juga yang menyanyi,” ujarnya.
Dr. Hanafiah turut menasihatkan orang ramai agar tidak mengusik individu yang melatah kerana ia hanya meletihkan individu tersebut.
“Ada situasi ia akan bahayakan individu melatah, misalnya ketika memandu atau sedang memegang objek tajam seperti pisau,” ujarnya.