JOHOR BAHRU – Majlis Keselamatan Negara (MKN) sedia berdepan sebarang bencana pada skala besar walaupun dalam tempoh pelaksanaan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang dijangka diadakan tidak lama lagi.
Timbalan Ketua Pengarah Keselamatan Negara (Pengurusan Keselamatan) MKN, Hamzah Ishak berkata, perkara berkenaan bagaimanapun memerlukan kata putus Perdana Menteri dan tiga kementerian berkaitan.
Jelas beliau, hal itu kerana ketika ini Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) serta pengurusan bencana peringkat daerah dan negeri akan menguruskan sebarang insiden terlebih dahulu.
“Ya, kita bersedia (bencana ketika PRU). Seperti semasa Covid-19 lalu banyak berlaku krisis dalam pentadbiran politik termasuklah peralihan kuasa Perdana Menteri. Sebagai agensi kerajaan kita akan bekerjasama dan mengurus sebarang insiden yang berlaku.
“Ketika Covid-19 lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) uruskan dahulu, kemudian keputusan dibuat agar MKN ambil alih pentadbiran pada 16 Mac 2020, dua hari kemudian iaitu pada 18 Mac negara ‘lockdown’.
“Jadi pada dasarnya kita bersedia untuk mengurus sebarang bencana, namun kita berharap pada skala kecil agensi-agensi di peringkat daerah dan negeri dapat melaksanakan pengurusan bencana terlebih dahulu sebelum ke peringkat tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Forum Keselamatan Negeri Johor Tahun 2022 yang diadakan di Hotel Renaissance, Permas Jaya, di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat.
Tambahnya, keputusan agar MKN mengambil alih pentadbiran negara perlu dibuat dalam Sidang MKN yang dipengerusikan Perdana Menteri bersama Menteri Pertahanan, Menteri Dalam Negeri, Menteri Komunikasi. – KOSMO! ONLINE