SOUTHAMPTON – Pengurus Manchester United, Erik Ten Hag mengakui berpuas hati melihat aksi yang dipamerkan oleh para pemainnya ketika mereka mencatat kemenangan kedua berturut-turut menewaskan Southampton di St. Mary kelmarin.
Jaringan tunggal perlawanan yang dilakukan oleh Bruno Fernandes pada minit ke-55 sudah cukup untuk memastikan United mengekalkan momentum terbaik selepas meraih kemenangan ke atas Liverpool sebelum itu.
“Bukan sahaja Bruno, tetapi keseluruhan pasukan ini telah memberikan yang terbaik. Cara permainan sebegitu yang saya mahu pasukan ini gunakan dan pemain semakin faham.
“Saya fikir para pemain telah belajar sesuatu daripada kekalahan ketika menentang Brentford sebelum ini. Kami kelihatan lebih baik dengan corak hantaran jauh.
“Sudah tentu saya sangat gembira. Kami memiliki peluang dan mampu menjaringkan lebih banyak gol pada perlawanan tu. Cuma saya berharap kami mampu mengawal permainan pada 30 minit terakhir perlawanan,” katanya.
Pada perlawanan itu, United memiliki beberapa peluang terbaik terutama pada separuh masa pertama, namun gagal disudahkan dengan jaringan.
“Sebelum babak pertama berakhir, kami memiliki beberapa peluang, namun ia gagal disudahkan. Tetapi, saya berpuas hati secara keseluruhannya.
“Pada awal permainan, kami sudah mula mencipta gerak dan mendapat peluang. Ia adalah permulaan musim dan sangat sukar. Kami perlu terus berjuang dan kami telah melakukannya.
“Saya masih rasakan bahawa adalah beberapa perkara yang masih boleh diperbaiki. Ia bukan masalah yang besar dan kami yakin mampu menyelesaikan beberapa kelemahan ini dalam tempoh terdekat,” jelasnya. – AGENSI