fbpx

Mamat janji ‘bersih’, umur pun sudah 40-an

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MAMAT berjanji untuk bebas daripada sebarang masalah menjelang konsert Exist, November depan.

PETALING JAYA – Enggan pisang berbuah dua kali, vokalis popular, Mamat yang selama ini sering terpalit dengan isu penyalahgunaan dadah berjanji untuk ‘bersih’ daripada sebarang kontroversi dan memberi sepenuh komitmen demi Konsert Resolusi Exists, 18 November depan.

Menurut Mamat atau nama sebenarnya Mohd. Ali Kamarudin, 44, faktor peningkatan usia antara penyebab azamnya mahu berubah menjalani kehidupan yang lebih baik.

“Bila rakan-rakan Exists yang panggil saya semula sudah tentu saya berbesar hati kerana inilah peluang terbaik untuk saya buat kemunculan semula dalam industri.

“Usia pun sudah 40-an, sekarang memang saya akan beri komitmen sepenuhnya terhadap kerja-kerja saya,” ujar Mamat.

Dalam pada itu, Mamat mengakui, kini masih dalam pemantauan pihak Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), namun kerana progres yang baik, dia bebas untuk melalukan kerja seni.

“Saya masih dalam pemantauan dan mengikuti program anjuran AADK. Pemantau tidak begitu ketat, selepas melihat progres yang baik. Lagi pun saya orang yang dikenali, mereka juga tahu tempat tinggal saya dan saya tidak menghilangkan diri begitu sahaja

“Cuma saya tidak boleh bergerak bebas seperti biasa. Alhamdulillah kehidupan saya kini lebih baik dan lebih terurus,” ujar Mamat.

Terdahulu, Mamat pernah mencetuskan kontroversi apabila ditahan polis di Taman Perling, Johor, atas kesalahan memiliki dadah jenis syabu ketika menunggang motosikal bersama rakannya beberapa minggu sebelum Konsert Exists Reunion pada 2019.

Menyentuh tentang Konsert Resolusi Exists yang akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur, Mamat meluahkan keterujaaannya untuk kembali bertemu peminat.

“Saya akan menyanyi berbelas lagu juga. Kesihatan saya berada di tahap terbaik. Sebagai persediaan untuk bertemu peminat, saya lebih banyak berlatih depan cermin.

“Selain itu, diharap kemunculan dua penyanyi baharu dalam konsert ini akan memberi lebih warna pada konsert Exists,” tutur Mamat yang ditemui pada sidang media Konsert Resolusi Exists di Bukit Kiara Equestrian & Country Resort di sini.

Konsert Resolusi Exists akan menampilkan Mamat berkongsi pentas bersama dua penyanyi baharu Pasha dan Eiz. Tiket konsert yang dijual pada harga serendah RM 190 sehingga RM800 telah mula dijual pada hari ini bermula pukul 3 petang.

Tiket boleh didapati menerusi laman web, www.ticket2u.com.my. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI