fbpx

Mahkamah: Kesan lecur pada tangan Bella mungkin sebab air panas – pakar bedah plastik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Siti Bainun ketika hadir di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Seorang pakar bedah plastik memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini
bahawa kesan melecur pada tangan remaja Sindrom Down dikenali Bella kemungkinan disebabkan oleh air panas.

Pakar bedah plastik Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr. Salmi Mohamed Shukur ,46, berkata,  kesan lecur air panas itu berdasarkan laporan yang diberikan oleh seorang pegawai perubatan yang pernah merawat remaja terbabit ketika dibawa ke HKL pada Jun 2021.

“Saya melihat ada dua kawasan luka masing-masing di tangan kanan dan kiri yang mana tangan kiri melecur satu peratus manakala tangan kanan melecur 0.5 peratus.

“Mengenai kedalaman kelecuran pula, disebabkan dia (Bella) datang (ke hospital) dengan keruping dan saya lihat tisu merah naik, jadi berdasarkan pengalaman kedalaman kelecuran itu dua darjah. Bukan sekadar tengok saiz luka dan kedalaman luka kelecuran, kita juga kena tahu punca kelecuran dan tempoh masa kejadian.

“Saya difahamkan kemungkinan disebabkan air panas. Apabila saya tanya Bella dia tidak bercerita apa yang berlaku dan saya tak nak paksa dia,” kata saksi pendakwaan ke-15 itu.

Saksi itu turut mengatakan, semasa merawat Bella, beliau juga ada melihat terdapat beberapa parut luka matang yang telah sembuh sekitar badan dan tangan remaja tersebut.

Sementara itu ketika ditanya pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad mengenai fizikal remaja itu ketika dirawat, saksi itu mengatakan Bella nampak kecil.

“Walaupun kecil saya tidak nampak sehingga menampakkan tulang rusuk atau mata cengkung, tapi berat badannya 35 kilogram, saya assume (jangkakan) rangka badannya nampak kecil,” kata saksi itu lagi.

Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung lagi petang ini.

Siti Bainun Ahd Razali , 30, menghadapi dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI