fbpx

Liga Super: Harimau Selatan baham Melaka United 4-0

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dua pemain pertahanan Melaka United Khairul Anwar dan Muhammad Fadhil mengawal ketat pergerakan penyerang JDT bLeandro Velazquez pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim disini. /FOTO RAJA JAAFAR ALI

ISKANDAR PUTERI – Juara lapan kali, Johor Darul Ta’zim (JDT) mengukuhkan kedudukan di persada Liga Super selepas membelasah Melaka United FC 4-0 di Stadium Sultan Ibrahim, di sini malam ini.

Kemenangan itu menyaksikan JDT mengutip 41 mata menerusi 15 perlawanan, enam mata di hadapan Sabah FC dengan kelebihan satu perlawanan.

Beraksi di laman sendiri, skuad Harimau Selatan mempamerkan aksi bertenaga memberi tekanan kepada pasukan pelawat dalam usaha memburu gol awal perlawanan.

Pada minit kelima, Leandro Velazquez menguji kecekapan penjaga gol, Tian Keat See dengan melakukan rembatan dari jarak jauh namun percubaan itu berjaya dinafikan penjaga gol itu.

Pasukan kendalian Hector Bidoglio itu terus melakukan serangan bertali arus ke arah kubu lawan dengan Danial Amier Norhisham yang melakukan percubaan, sayangnya rembatan itu jauh tersasar.

Gol pembukaan yang diburu JDT akhirnya hadir pada minit ke-13 menerusi rembatan lencong Fernando Forestieri dari luar kotak penalti menerjah penjuru kanan gol melepasi jangkauan Keat See.

Gawang Melaka United sekali lagi dibolosi pada minit ke-32 menerusi jaringan Bergson Da Silva yang bijak memanfaatkan umpanan cantik Forestieri dengan melakukan rembatan dalam kotak penalti menewaskan penjaga gol lawan.

10 minit berselang, Bergson menggandakan jaringan apabila mendada hantaran silang Corbin Ong sebelum melepaskan rembatan lerek yang menyebabkan penjaga gawang lawan hanya diam terpaku.

Pada hujung babak pertama, pasukan pelawat hampir mendatangkan cemas buat JDT menerusi percubaan Syahrul Azwari Ibrahim namun penjaga gol, Haziq Nadzli bijak menutup ruang bagi memastikan gawang tidak dibolosi.

Bersambung babak kedua, percubaan pemain pertahanan, Carli de Murga untuk menghasilkan jaringan dinafikan pertahanan lawan dengan mengeluarkan bola di atas garisan gol.

Keadaan Melaka United semakin getir apabila terpaksa bermain dengan 10 pemain setelah Khairul Anwar Shahrudin mengalami kecederaan ketika pasukan sudah menggunakan semua pertukaran termasuk membawa keluar satu-satunya pemain import, Adriano Aparecido pada babak pertama.

Kesempatan itu dimanfaatkan sepenuhnya pasukan tuan rumah yang menggandakan asakan ke arah kubu lawan bagi menambah derita buat Melaka United.

Bergson melengkapkan hatriknya pada minit ke-85 apabila melepaskan rembatan deras menerjah gawang lawan, gol ke-20 buat penyerang sensasi itu dalam saingan liga musim ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI