PETALING JAYA – Lapan pasukan bolasepak sosial akan turun berentap merebut edisi sulung Piala Sultan Pahang yang dijadualkan berlangsung dari 1 hingga 3 September ini.
Kejohanan dengan format kalah mati itu dianjurkan bersempena memuliakan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Pahang, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Majlis pelancaran dan undian kejohanan telah disempurnakan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah dalam satu majlis ringkas di Kotasas, Kuantan baru-baru ini.
Pasukan-pasukan yang terlibat adalah empat wakil Pahang iaitu Alam Mahkota, FC Jerantut, Semantan Troopers dan Yayasan Pahang Maintenance selain Cyberjaya Teleflow (Selangor), KRU FC (Kuala Lumpur), FC Kerteh (Terengganu) serta Pasir Pekan FC (Kelantan).
Berdasarkan undian yang dilakukan, Semantan Troopers dijadualkan menentang Kerteh FC, FC Jerantut membuat perhitungan dengan Teleflow Cyberjaya, Pasir Pekan FC berdepan Yayasan Pahang Maintenance dan Alam Mahkota bertemu KRU FC.
Venue-venue yang terlibat sepanjang kejohanan adalah Padang Sintetik MBK dan Padang MBK 2 di Kuantan; Padang MDP di Pekan dan Stadium Tun Abdul Razak di Jengka, manakala perlawanan akhir pula berlangsung di Stadium Darul Makmur.
Para peminat kesemua lapan pasukan itu boleh menyaksikan perlawanan secara penstriman langsung menerusi kerjasama rakan penyiar, Balrz.Tv.
Penganjuran Piala Sultan Pahang edisi pertama itu bertujuan memperkasa serta mempromosikan budaya hidup sukan di dalam komuniti selain mengekalkan hubungan baik antara Sultan Pahang dan rakyat melalui bola sepak sosial.
Dalam masa sama, komitmen daripada agensi dan rakan kongsi tempatan diyakini akan melonjakkan lagi nilai komersial bola sepak di Pahang seterusnya memperkenalkan pelancongan sukan di daerah-daerah berbeza di negeri tersebut. – KOSMO! ONLINE