LUMUT – Bandar Tentera Laut, Pelancongan dan Maritim Lumut mempunyai potensi untuk menarik lebih ramai pelancong menerusi penglibatan berterusan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dengan aktiviti berorientasikan masyarakat.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Syamsul Hazeman Md. Salleh berkata, bagi tujuan tersebut, pihaknya telah merangka pelbagai program yang akan menarik minat orang ramai terutamanya peminat-peminat ketenteraan ke bandar tersebut.
Beliau berkata, program Lumut Merdeka Swim (LMS) 2022 dianjurkan MPM dengan kerjasama TLDM selama dua hari iaitu kelmarin dan semalam merupakan antara langkah yang telah diambil bagi mencapai objektif berkenaan.
“Ini adalah program bersama yang pertama kita buat seumpamanya dan ia adalah permulaan kepada satu usaha dalam menganjurkan acara berskala lebih besar di masa hadapan.
“Ia lebih-lebih lagi apabila Lumut tergolong dalam kelompok kecil bandar tentera laut yang terdapat di seluruh dunia,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Seramai 136 orang perenang terdiri daripada kanak-kanak dan dewasa menyertai LMS 2022 yang mana mereka berenang sejauh 23 kilometer melibatkan beberapa lokasi. – KOSMO! ONLINE