fbpx

Kakitangan Jabatan Laut didakwa tuntut elaun perjalanan, OT palsu RM670.51

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH, Hazreen Mohd. mengaku tidak bersalah di atas dua pertuduhan membuat tuntutan palsu berjumlah RM670.51 pada bulan Mei tahun 2020 di Mahkamah Sesyen, Johor Bahru hari ini./ FOTO RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU – Seorang kakitangan Jabatan Laut Malaysia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas dua pertuduhan membuat tuntutan palsu berjumlah RM670.51, Mei dua tahun lalu.

Tertuduh, Hazreen Mohd., 40, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Menurut pertuduhan pertama, Hazreen yang bertugas sebagai Pembantu Laut Gred 22 didakwa telah membuat tuntutan bayaran lebih masa sebanyak RM359.41 bagi tugasan penjagaan Rumah Api Bukit Segenting, Batu Pahat bagi bulan April 2020 sedangkan tertuduh tidak melakukan perkara tersebut.

Sementara itu, berdasarkan pertuduhan kedua, tertuduh turut didakwa membuat tuntutan elaun perjalanan palsu berjumlah RM311.10 bagi bulan April 2020 bagi tugasan sama sedangkan tertuduh tidak melakukan perkara itu.

Atas kedua-dua kesalahan tersebut, dia didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun atau denda tidak kurang lima kali ganda atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Dalam rayuannya, tertuduh yang telah berkhidmat selama sembilan tahun dengan agensi berkenaan memberitahu dia turut menanggung seorang isteri, tiga orang anak dan ibu yang sudah uzur.

“Selain turut menanggung hutang arwah ayah yang sudah meninggal dunia pada Mei lalu, saya juga kini digantung tugas dan hanya menerima separuh bulan gaji.

“Oleh itu saya memohon mahkamah memberikan jaminan berjumlah RM2,000, kerana hanya itu yang saya mampu,” katanya yang tidak diwakili peguam.

Ahmad Kamal Arifin kemudian menetapkan tertuduh diberi jamin berjumlah RM5,000 dengan seorang penjamin warganegara tempatan, selain pasport antarabangsa tertuduh perlu diserah kepada mahkamah.

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula pada 29 September dan turut meminta tertuduh melantik seorang peguam untuk mewakili semasa perbicaraan.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Ikhwan Ihsan Jalaludin. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI