fbpx

JPKKP pilih pengerusi dikenali penduduk kampung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mahdzir diiringi Khairy beramah mesra dengan sebahagian penerima watikah ketika hadir pada Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Anggota JPKKP Negeri Sembilan di sini, hari ini. /FOTO MOHD SHAHJEHAN MAAMIN.

SEREMBAN – Jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) adalah dipilih dalam kalangan pemimpin dari kampung yang berkenaan.

Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) Negeri Sembilan, Khairy Jamaluddin berkata, pemilihan itu bagi memastikan Pengerusi JPKKP dikenali penduduk kampung dan dapat melaksanakan tugas secara berkesan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, ia penting bagi membolehkan masalah rakyat di kampung dapat disampaikan kepada kerajaan dan bantuan disalurkan dengan pantas.

“Kita tidak sama seperti struktur organisasi lain. Kadang-kadang ketua tidak dikenali kerana datang dari tempat lain.

“Ia menyebabkan penduduk kampung sukar mendapat perkhidmatan kerana tidak kenal ketua yang sepatutnya menjadi wakil kepada kerajaan di peringkat akar umbi,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap pada Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Anggota JPKKP Negeri Sembilan di sini hari ini.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Sementara itu, Mahdzir berkata, JPKKP ditubuhkan sebagai barisan hadapan dalam urusan pembangunan kampung dari sumber kerajaan Persekutuan.

Katanya, JPKKP akan menjadikan usaha kerajaan pusat membantu rakyat di kampung menjadi lebih mudah.

“Kadang-kadang kita berhadapan dengan masalah saluran bagi menyampaikan bantuan.

“Jadi JPKKP akan menjadi saluran rasmi kepada kerajaan Persekutuan meningkatkan keupayaan menyalurkan pelbagai jenis bantuan kepada rakyat,” katanya.

Dalam majlis hari ini, sebanyak 393 JPKKP di seluruh negeri ini menerima watikah pelantikan mereka yang berkuatkuasa selama dua tahun. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI