BERMULA awal bulan lalu, berita mengenai kesesakan wad di kebanyakan hospital kerajaan sering menjadi topik utama disebabkan peningkatan kes pesakit yang dijangkiti influenza.
Lebih memilukan, kesesakan bukan hanya berlaku di sekitar wad kecemasan ataupun bahagian pendaftaran sahaja, namun turut melibatkan operasi di wad-wad utama.
Penulis sendiri baru-baru ini telah melalui dan merasai sendiri perkara sama sewaktu menghantar rakan baik untuk mendapatkan rawatan awal di salah sebuah hospital awam terkenal di ibu negara.
Sudahlah terpaksa menunggu berjam-jam untuk mendapatkan rawatan dan berjumpa dengan doktor, paling mengejutkan penulis dan rakan, kami turut diberitahu salah seorang doktor wanita berbangsa India yang bertugas memberitahu mengenai ketiadaan katil andai terpaksa dimasukkan ke wad.
“Kalaulah awak punya kawan ini kena tahan wad, kami minta maaf kerana tidak dapat berbuat demikian kerana katil di wad kita semua sudah penuh. Saya tiada pilihan.
“Di luar sana (sambil menudingkan jari), awak sendiri boleh tengok betapa ramai pesakit yang memang kena masuk wad, tapi terpaksa menunggu di bawah khemah sampailah ada katil kosong.
“Ada yang dah tunggu dua hari dua malam untuk nak masuk wad. Jadi kalau awak terpaksa dirujuk ke wad, tunggulah ya melainkan kalau ada insurans perubatan sendiri,” ujar pegawai perubatan dalam lingkungan usia awal 40-an itu.
Penulis dan rakan seakan-akan tersentak dengan kenyataan dari mulut doktor terbabit, namun terpaksa menerimanya kerana itulah kenyataan yang harus ditelan semua ketika ini.
Daripada situ, barulah penulis terfikir betapa pentingnya mempunyai insurans perubatan, tidak kisahlah milik peribadi mahupun yang disediakan syarikat tempat kita mencari rezeki.
Penyanyi popular Elyana dalam kenyataannya kepada media sebelum ini turut menyarankan orang ramai yang berkemampuan dan mempunyai masalah kesihatan supaya mengambil pakej insurans tertentu untuk pembiayaan kos rawatan ketika di hospital.
“Bila ada insurans, percayalah kita tak akan tertekan mana nak cari duit untuk bayar segala bil hospital nanti. Nak masuk hospital pun senang tak perlu tunggu lama.
“Insurans banyak membantu dan menyokong saya dalam pelbagai aspek hidup. Saya bersyukur mempunyai insurans,” katanya.
Senada dengan pelantun lagu Kalis Rindu itu ialah perunding kewangan peribadi, Afyan Mat Rawi yang menyifatkan masih ramai dalam kalangan masyarakat mengabaikan kepentingan perlindungan insurans kesihatan.
“Walaupun mereka sedar kos kesihatan semakin hari semakin tinggi, namun tidak meletakkannya sebagai prioriti.
“Jika insurans kesihatan dibeli pada usia muda ketika kita masih sihat, maka jumlah premium akan menjadi lebih rendah berbanding di usia dewasa.
“Tidak semua perlindungan insurans kesihatan itu mahal, malah masih ada syarikat insurans yang menawarkan pelan komprehensif dengan harga mampu milik dan boleh dinikmati semua peringkat demografi masyarakat,” katanya.
Tuntasnya, tepuk dada tanyalah selera. Jangan sampai terlalu mengejar kemewahan dan materialistik, soal kesihatan diletak ke tepi.