fbpx

Hakim perlu bebas sebarang pengaruh, tekanan – Sultan Nazrin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Nazrin.

IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah bahawa hakim merupakan watak penting dalam sistem keadilan dan perlu bebas daripada sebarang pengaruh serta tekanan.

Baginda bertitah, seorang hakim mempunyai peranan besar serta menjadi simbol dalam memastikan kredibiliti dan kewibawaan institusi kehakiman.

“Sebarang bentuk keraguan perlu dihindarkan dan seorang hakim itu perlu bebas daripada sebarang pengaruh mahupun tekanan,” titah baginda pada Majlis Pelancaran Jurnal Syariah Perak Al-Qanun Vol. 1 2022 di sini hari ini.

Sultan Nazrin bertitah, penulisan alasan penghakiman merupakan salah satu tugas yang dipertanggungjawabkan kepada hakim-hakim.

Titah baginda, melalui penulisan alasan penghakiman, para hakim akan memberikan alasan dan asas serta sandaran kepada setiap keputusan yang telah dibuat terhadap sesuatu kes yang dibawa di hadapannya.

“Alasan penghakiman juga, menjadi pertimbangan kepada mana-mana pihak yang terkilan dengan keputusan yang diumumkan, bagi menilai kembali sama ada ingin meneruskan niat mereka untuk merayu atau sebaliknya.

“Sekiranya asas dan sandaran penghakiman itu lemah, perayu berhak untuk berhujah bahawa hakim telah terkhilaf dalam penghakimannya dan memohon untuk kesnya dinilai semula di mahkamah yang lebih tinggi,” titahnya.

Sultan Nazrin bertitah, dalam usaha mewujudkan Institusi Kehakiman Syariah yang berkredibiliti dan berwibawa, pegawai-pegawai kehakiman perlu dari semasa ke semasa diberi latihan, dilengkapi kemahiran dan didedahkan dengan pengalaman.

Titah baginda, ia agar pengetahuan mereka, begitu juga kecekapan mentafsir undang-undang dan hukum syarak dapat ditingkatkan.

“Kompetensi perlu sentiasa ditambah baik selaras dengan cabaran semasa dan kompleksiti kes-kes yang dikendalikan di Mahkamah Syariah pada masa kini.

“Lantaran itu, menjadi tanggungjawab Kerajaan Beta, membantu menyediakan keperluan latihan dan pembangunan kompetensi yang menitikberatkan aspek penguasaan ilmu dan pemantapan sahsiah,” titahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI