fbpx

Curi motosikal berang gaji tak dibayar, buruh dijel 12 bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh diiringi anggota polis selepas dihadapkan di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh, Melaka hari ini.

MELAKA – Tindakan seorang warga Pakistan mencuri motosikal majikan gara-gara berang gajinya tidak dibayar membawa padah apabila dipenjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Mazana Sinin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Umar Farook, 21, yang membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati dengan niat curang telah mencuri motosikal Honda FS 150 bernilai RM8,000 kepunyaan Mohd. Zamri Sahari, 34, kira-kira pukul 5.30 petang di tapak projek Jalan Bukit Duyong, pada 30 Mei lalu.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum tujuh tahun serta denda.

Mengikut fakta kes, tertuduh didakwa melakukan perbuatan selepas pihak majikan tidak membayar gajinya sebanyak RM5,000 membabitkan kerja-kerja membuat rumah.

Tertuduh kemudian berjaya ditangkap pasukan polis dalam satu sekatan jalan raya di Bentong, Pahang pada 16 Julai lalu.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukumannya diringankan dengan alasan hanya bekerja sebagai buruh, selain perlu menyara ibunya yang uzur di Pakistan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sherina Farhana Nor Sa’ari bagaimanapun memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan masyarakat.

Selepas mendengar rayuan kedua pihak mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama 12 bulan dari tarikh ditangkap. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI