GEORGE TOWN – Waris remaja perempuan yang maut dipercayai selepas terjatuh dari balkoni tingkat 11 di sebuah kondominium Persiaran Bayan Indah, Bayan Baru di sini pagi tadi meminta diberi ruang untuk mereka menguruskan perkara berlaku.
Bapa mangsa yang ditemui Kosmo! di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini lewat petang bagaimanapun enggan memberi sebarang penjelasan berhubung kejadian itu dan dilihat berada dalam keadaan masih bersedih.
“Beri ruang kepada kami,” katanya ringkas ketika disoal tentang kejadian yang menimpa.
Turut berada di situ ialah enam adik-beradik mangsa bersama ibu mereka.
Kosmo! difahamkan, mangsa merupakan anak kelima daripada lapan beradik.
Jenazah kemudiannya dilihat dibawa keluar dengan menaiki van jenazah kira-kira pukul 8.05 malam tadi.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan seorang remaja perempuan berusia 13 tahun ditemui sudah tidak sedarkan diri di atas bumbung konkrit tempat meletak kereta di aras satu bangunan perumahan berkenaan.
Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bayan Baru serta pihak polis membantu membawa turun mayat mangsa pagi tadi. KOSMO! ONLINE