LONDON – Kebangkitan lewat permainan ditunjukkan Arsenal untuk menewaskan Fulham 2-1 di Emirates awal pagi semalam membolehkan kelab itu terus mengekalkan rekod kemenangan bersih 100 peratus musim ini.
The Gunners terlebih dahulu ketinggalan satu gol menerusi penyerang Fulham, Aleksandar Mitrovic yang memanfaatkan kesilapan Gabriel Magalhaes pada minit ke-56.
Arsenal bangkit menunjukkan mentaliti juara dengan serangan bertali arus ke gawang Fulham sehingga terhasilnya dua gol melalui Martin Odegaard (m-64) dan Magalhaes empat minit sebelum tamat.
Pengurus Arsenal, Mikel Arteta enggan terlalu awal memikirkan mengenai peluang menjuarai musim ini sekali gus menamatkan penantian kelab itu yang kali terakhir merangkul gelaran EPL pada 2003/2004.
“Ini baru permulaan saingan musim baharu. Ia seperti satu perlumbaan maraton yang jauh kerana perjalanan masih panjang. Pemain perlu sentiasa merendah diri dan ‘dahagakan’ kejayaan,” katanya.
Arsenal kekal satu-satunya pasukan EPL musim ini yang berjaya mencatat empat kemenangan daripada empat perlawanan untuk mendahului carta dengan kelebihan dua mata ke atas Manchester.
Pemain sayap lincah Arsenal, Bukayo Saka turut melaungkan keyakinan dia dan rakan sepasukannya bersedia memenangi setiap perlawanan dihadapi meskipun sedar ia adalah satu tugas yang amat sukar. – AGENSI