DUNGUN – Institut Koperasi Malaysia (IKM) meraikan sambutan 100 tahun gerakan koperasi nasional dengan melepaskan 400 ekor anak penyu ke laut di Pantai Rantau Abang, di sini hari ini.
Pengerusi IKM, Datuk Dr. Rosli Mat Hassan berkata, pelepasan anak penyu tersebut juga simbolik kebebasan sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-65.
“IKM turut sama mengambil tanggungjawab membantu memastikan kelestarian penyu yang merupakan spesies reptilia semakin diancam kepupusan.
“Sekiranya tiada usaha memulihara penyu dilakukan, tidak mustahil kita tidak dapat lagi menyaksikan lagi haiwan reptilia ini mendarat di pantai negara kita untuk bertelur pada masa depan,” katanya selepas melepaskan anak penyu terbabit di Pantai Rantau Abang, di sini hari ini.
Rosli berkata, program pelepasan penyu hasil kerjasama Majlis Pembangunan Usahawan dan Koperasi Dungun tersebut merupakan sebahagian program sempena sambutan 100 tahun gerakan koperasi nasional. – KOSMO! ONLINE