IPOH – Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr. Mahathir Mohamad sepatutnya mempersoalkan tindakan beliau membuat petisyen memohon pengampunan diraja bagi membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, bekas perdana menteri tersebut sepatutnya lebih mengetahui bahawa tindakannya sebelum ini mengecewakan rakyat.
Bagaimanapun, katanya, ketika Anwar menerima pengampunan diraja, Mahathir merupakan Perdana Menteri ketika itu.
“Bukankah Tun M adalah individu yang bertanggungjawab membuat petisyen untuk DS Anwar?
“Anda fikir rakyat tak kecewakah? Rakyat kecewa tetapi waktu itu dia (Mahathir) jadi PM. Sama saja,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas hadir pada Program Mesra Bersama Peneroka Felda Negeri Perak di Laman Seri Ridzuan di sini hari ini.
Saarani berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Mahathir yang mana rakyat akan kecewa jika bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dijatuhi hukuman penjara atas kesalahan rasuah dibebaskan.
Mahathir dalam program Jelajah Sayang Bangsa negeri Perak parti Pejuang di Ipoh semalam berkata, tidak mustahil Najib boleh dibebaskan dengan pengampunan diraja, bagaimanapun rakyat pasti kecewa kerana kesalahan yang dilakukan Najib melibatkan penipuan wang berbilion ringgit.
Mahkamah Persekutuan sebelum ini mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dihadapi Najib dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd. -KOSMO! ONLINE