fbpx

Tuah jadi ‘kembar’ Sharifah Rose

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
REZEKI Nuin dalam dunia modelling bermula selepas dia dikaitkan mempunyai wajah mirip pelakon baharu, Sharifah Rose.

BERPEGANG kepada prinsip Allah tahu apa yang terbaik untuk kita menjadikan gadis Pesona Ahad pada minggu ini bersedia dengan apa jua aturan perjalanan hidupnya meskipun terpaksa melupakan hasrat bergelar pramugari.

Bagi Syaidatul Nur’ain Azahari, 21, ibu dan bapanya menjadi keutamaannya ketika ini dan dia tidak kekok membantu mereka mengusahakan perniagaan makanan iaitu karipap dan donut.

Gadis yang mesra disapa Nuin itu menanam azam untuk mengembangkan bisnes keluarganya selain menyasar untuk mengeluarkan produk jenama sendiri pada masa akan datang.
Kepada Kosmo! Ahad, anak ketujuh daripada 10 adik-beradik ini berkongsi pengalamannya menjadi bos muda ketika berusia 18 tahun serta penglibatannya dalam dunia peragaan.

Kosmo! Ahad: Kongsikan mengenai latar belakang Nuin
Nuin: Saya berasal dari Bagan Serai, Perak dan kini menetap di Bangi, Selangor bersama keluarga. Sejak kecil saya bercita-cita mahu menjadi pramugari, namun ditakdirkan bekerja sepenuh masa sebagai model di samping menguruskan perniagaan keluarga.

Adakah Nuin masih me­nyimpan keinginan terbang di awan biru?
Tidak, bagi saya apa yang berlaku sekarang adalah terbaik untuk diri saya. Saya mahu memberi fokus terhadap karier sebagai model dan memajukan bisnes keluarga iaitu Karipap Donut Bikin Panas. Saya juga bercadang untuk mengeluarkan produk jenama sendiri mungkin dalam bidang fesyen.

Sejak bila terlibat dalam perniagaan keluarga?
Sejak di bangku sekolah lagi saya didedahkan dengan selok-belok dunia perniagaan makanan keluarga yang kini mempu­nyai lapan cawangan di Lembah Klang. Ketika berusia 18 tahun, saya diberi tanggungjawab me­nguruskan cawangan di Bangi yang mempunyai tujuh pekerja.

Bagaimana mula terbabit dalam dunia peragaan?
Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu kan? Saya aktif berkongsi foto di Instagram. Pada tahun lalu beberapa keping foto saya tular kerana dikatakan mirip pelakon Sharifah Rose sebelum ditawarkan menjadi model produk oleh sebuah syarikat tempatan.

NUIN pernah bergelar bos ketika berusia 18 tahun apabila mengendalikan cawangan perniagaan di Bangi.

Adakah anda menumpang tuah Sharifah Rose?
Mungkin kebetulan jadi orang kenal siapa Nuin Azahari, tetapi jika tiada bakat saya tidak akan ditawarkan projek seterusnya.

Apakah sasaran seterusnya?
Menambah cawangan Karipap Donut Bikin Panas ke seluruh Malaysia supaya lebih ramai orang mendapat manfaat termasuk peluang kerja.

Bakat terpendam Nuin?
Saya mempunyai kemahiran dalam bidang seni dan sukakan lukisan unik serta mahir bermain gitar bagi menghiburkan diri pada masa lapang.

Ciri-ciri pasangan idaman Nuin?
Lelaki yang ikhlas mene­rima baik buruk tentang diri saya serta bijak memikat hati keluarga kerana bukan mudah untuk abang dan kakak mempercayai seseorang yang boleh menjaga adik mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI