KAMPAR – Keluarga lelaki yang meninggal dunia selepas dikatakan terlibat nahas jalan raya Mei lalu, menuntut siasatan lanjut dijalankan berhubung kematian lelaki itu.
Abang mangsa, Zuelkefle Draman, 66, berkata, gesaan itu dibuat selepas laporan bedah siasat ke atas mayat Shaiful Azri, 42, mendapati terdapat unsur-unsur jenayah yang menyebabkan kematian mangsa.
Katanya, laporan polis telah dibuat bagi tujuan siasatan semula di Balai Polis Malim Nawar semalam.
“Shaiful Azri ditahan polis selepas terlibat kemalangan sekitar pukul 6.30 petang, 26 Mei lalu namun dia disahkan telah meninggal dunia di Hospital Kampar kira-kira empat jam kemudian.
“Berdasarkan laporan bedah siasat oleh pakar forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), semua kesan kecederaan pada tubuh arwah bukan disebabkan kemalangan sebaliknya disyaki akibat jenayah,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurutnya, Shaiful Azri yang juga penjawat awam dan menetap di Seremban, Negeri Sembilan itu berada di Malim Nawar bagi menguruskan keluarganya yang dikuarantin akibat jangkitan Covid-19.
Katanya, mereka sekeluarga mengesyaki terdapat punca lain yang menyebabkan kematian lelaki itu tambahan lagi setelah melihat kesan kecederaan dan lebam pada tubuh mangsa.
“Laporan polis yang dibuat ini setelah kami mendapatkan nasihat dan pandangan peguam. Kami mahu menuntut keadilan atas kematian arwah.
“Siasatan terperinci perlu dijalankan bagi membawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan. Pada masa sama, kami juga mahu membersihkan nama arwah yang terpalit pelbagai tohmahan kononnya terlibat dalam kegiatan tidak sihat,” katanya. – KOSMO! ONLINE