PENGERANG – PETRONAS Refinery and Petrochemicals Corporation Sdn. Bhd. (PRPC) dan Pengerang Terminals (Two) Sdn. Bhd. (PT2SB), yang merupakan usaha sama PETRONAS, Dialog, VOPAK dan Permodalan Darul Takzim melancarkan program pemuliharaan bakau bagi menyokong usaha kerajaan negeri dalam membangunkan muara Sungai Johor di Pulau Tanjung Surat sebagai tarikan ekopelancongan.
Program berkenaan dilancarkan oleh Pegawai Daerah Kota Tinggi, Datin Paduka Hazlina Jalil bersama Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Eksekutif PRPC, Kamal Bahrin Ahmad serta Ketua Pegawai Eksekutif PT2SB, Aqeel Hussain baru-baru ini.
PRPC dan PT2SB telah melabur lebih daripada RM500,000 dalam program berkenaan, yang bertujuan meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat di Pulau Tanjung Surat melalui sinergi dan kerjasama Pertubuhan Sahabat Hutan Bakau Pulau Tanjung Surat.
Kamal Bahrin berkata, pihaknya komited dalam mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi yang mampan bagi masyarakat di negeri Johor melalui pelaburan sedemikian, selaras dengan Agenda Kelestarian PETRONAS.
“Kami menjangkakan usaha ini akan memberi impak positif kepada alam sekitar melalui penghutanan semula, perlindungan persisir pantai dan pengembangan ekosistem bakau di Pulau Tanjung Surat,” katanya.
Program tersebut bermula pada Disember 2021 dan dijangka berterusan sehingga 2023.
Sehingga Jun lalu, lebih 8,300 pokok bakau telah ditanam daripada 21,000 pokok yang dirancang di sepanjang 2.2 hektar kawasan hutan bakau menerusi program itu, manakala lebih 26 penduduk tempatan telah berjaya menjana pendapatan tambahan.
Dengan 4,700 pokok lagi yang akan ditanam tahun ini, ia dijangka bakal memperkayakan biodiversiti tempatan, menyumbang kepada pengasingan karbon dan menjana peluang ekopelancongan di kawasan sekitar.
Di bawah Pelan Induk #ForPengerang, beberapa program lain turut dijalankan dan menyumbang kepada pembangunan komuniti di Pengerang.
Antaranya pembangunan enam buah koperasi iaitu KOPEJA, KOJAYA, KOLEPAU, KOPETRI, KOPERANG dan KOBERA selain pembangunan usahawan dan kemahiran melalui Program Pembangunan Kemahiran Komuniti, Program Pembangunan Vendor serta Program Pemulihan Ekonomi melalui projek ternakan kupang dan udang.